Demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha untuk membendung penularan COVID-19, ramai rakyat terpaksa mengubah gaya hidup harian yang sudah dijalani selama ini.
Atas arahan untuk duduk di rumah sahaja, rakyat Malaysia kini bekerja dengan selesa daripada rumah dan ada yang terus mendapat cuti sehingga perintah ini tamat pada 14 April nanti. Malahan, kebanyakan premis perniagaan yang sering dipenuhi pengunjung juga sudah tinggal kosong kerana mereka tutup pintu selama perintah ini berlangsung.
Kedai makan dan restoran kini juga hanya menawarkan perkhidmatan bungkus sahaja kerana tidak mahu orang ramai berkumpul secara beramai-ramai di suatu tempat. Meskipun orang ramai boleh mengusahakan makanan sendiri di rumah, ramai tertanya-tanya dengan nasib kucing dan anjing jalanan yang hilang sumber makanan akibat penutupan banyak kedai makan.
Daripada pemerhatian yang dibuat, kebanyakan haiwan ini masih lagi melawat kedai makan kegemaran mereka seperti biasa tetapi tiada lagi pelanggan yang boleh memberikan mereka makanan. Rata-rata kucing dan anjing ini kelihatan lesu dan tidak bermaya kerana sudah beberapa hari tidak mendapat bekalan makanan yang cukup untuk meneruskan hari-hari mereka.
Semoga haiwan jalanan ini terus melawan untuk hidup sepanjang PKP ini.