Kecoh di media sosial Indonesia baru-baru ini apabila tular sebuah video di TikTok di mana wujud kubur yang didakwa milik karakter Upin dan Ipin iaitu animasi popular di kedua-dua negara, Indonesia dan Malaysia.
Dalam video tersebut, dua kubur itu dilihat bersebelahan antara satu sama lain dan tertulis di batu nisan di mana Ipin meninggal pada 2 April 1996, manakala Upin meninggal setahun sebelumnya iaitu 6 Ogos 1995.
Menerusi keterangan dalam video tersebut, cerita Upin Ipin itu dibuat hanya berdasarkan khalayan semata-mata dan rakaman itu menurut pemilik video diperoleh daripada kawannya yang berasal dari Malaysia.
“Video ini Along dapat dari teman yang juga orang Malaysia. Katanya ini berdasar kisah dari nenek di sana yang diadaptasikan ke dalam animasi.” tulis pemilik video yang dikenali sebagai @bang_along3110 itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi tampil memberi respon mengenai berita yang tular itu dan turut memuat naik cerita tersebut di laman Facebook miliknya.
Pagi tadi Atok (gelaran dirinya) terkejut membaca berita dari Jakarta bahawa Upin Ipin sudah meninggal akibat kemalangan.
Kepada semua peminat Upin Ipin jangan risau mereka sentiasa sihat dan akan muncul bersama rakan-rakan di musim baru.
Burhanuddin difahamkan turut menyumbang kepada suara bagi watak Atok dalam siri animasi popular tersebut.
Sekadar info, siri animasi Upin Ipin mengisahkan mengenai kehidupan dua adik beradik kembar yang tinggal bersama Opah dan kakaknya, Kak Ros.
Upin Ipin bukan sahaja popular di Malaysia tapi juga di negara jiran, Indonesia.