Selepas pemergian Yus Jambu buat selama-lamanya, satu persatu kebaikan Allahyarham yang tidak diketahui selama ini telah didedahkan oleh mereka yang menerimanya. Terharu Abang Nara membaca amal jariah yang telah dilakukan oleh arwah. Sesungguhnya arwah seorang yang dermawan dan banyak membantu mereka yang diperlukan. Kerana keikhlasan Allahyarham, jenazah telah diiringi 3,000 orang ketika pengkebumian di Perlis.
Salah satu kisah dermawan Allahyarham Yus Jambu telah diceritakan oleh kerani Sekolah Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (Madi), Kampung Jejawi Dalam, Perlis. Katanya:-
Dia serahkan RM5,000 kepada saya, kemudian saya tulis resit sebagai bukti dermanya kepada sekolah kami. Dia kata tak payah resit, tapi saya tetap hulurkan kerana sudah menjadi kewajiban saya berbuat demikian.
Mulanya saya tak perasan lelaki yang datang itu seorang pelakon dan pelawak sehinggalah arwah datang ke meja saya memberitahu mahu menderma.
Saya terkejut bila sedar lelaki itu adalah Yus. Bila bersembang, dia langsung tak sombong dan sangat merendah diri
Malah Allahyarham juga seringkali menderma ke tabung masjid kampung kelahirannya. Menurut Setiausaha masjid, Ali Hanapiah Mohammad, 49, berkata, sejak enam tahun memegang jawatan itu, belum pernah dia melihat Yus keluar dari masjid tanpa memasukkan duit ke dalam tabung. Katanya:-
Selalunya saya nampak antara RM200 hingga RM300. Memang arwah sangat pemurah. Malah, setiap kali pulang ke kampung, dia pasti akan ziarah kubur ibu bapanya, Edoo Ismail dan Manis Ismail termasuk kubur abangnya, Rashidi Edoo.
Itu amalan Yus sewaktu masih hidup. Selain selalu datang berjemaah di masjid, arwah juga turut membeli dua mesin rumput untuk kegunaan masjid yang masih dalam keadaan baik sehingga kini.
Kalau dalam poketnya ada RM3, duit itulah akan dibelanjakan untuk kawan-kawannya. Dia lebih rela poketnya kosong asal dapat memberi. Sifatnya itu tak pernah berubah biarpun dah jadi artis
Bekas guru kepada Yus Jambu juga telah memaklumkan Allahyarham hadir memberi motivasi kepada 600 anak-anak yatim dan miskin di satu program di Sekolah Rendah Islam (SRI) 1 Jalan Abi Tok Hashim tanpa sebarang bayaran tahun ini. Katanya:-
Ketika bulan puasa, Yus sempat luangkan masa hampir sejam di sekolah kami untuk beri semangat kepada murid dan anak yatim. Dia langsung tak meminta bayaran.
Dia juga nasihatkan murid supaya mendengar kata cikgu. Saya kagum dengan arwah kerana dia memberi contoh yang baik kepada orang lain melalui keperibadiannya
Sikap dan sifat dermawan Allahyarham Yus Jambu ini seharusnya menjadi contoh kepada kita semua. Rata-rata semua yang mengenali Allahyarham memuji keikhlasan, kemesraan dan kebaikan Allahyarham. Semoga segala amal kebajikan Allahyarham diterima olehNya. Al-Fatihah. Sumber Sinar Harian.