Bekas penyampai radio Hitz FM, Keanu Azman, akhirnya mendedahkan antara sebab utama dia meninggalkan stesen radio berbahasa Inggeris itu pada Mei 2024 adalah kerana enggan memainkan lagu artis yang diketahui menyokong rejim Zionis.
Keanu atau nama sebenarnya Mohamad Keanudin Mohamad Azman, 28, membuat pendedahan tersebut menerusi satu hantaran di akaun Threads miliknya.
Saya takkan tipu. Salah satu sebab saya tinggalkan Hitz adalah kerana kebanyakan penyanyi yang lagunya dimainkan dan dipromosikan ialah penyokong Zionis.
Saya tidak mahu menjadi hipokrit. Memboikot jenama dan makanan segera, tetapi masih ‘menjual’ muzik penyokong Zionis.
Keanu turut meluahkan rasa gembira apabila semakin ramai artis Barat kini tampil menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai, malah rata-rata netizen memuji tindakan berani Keanu yang sanggup meninggalkan kerjaya lamanya demi prinsip dan solidariti terhadap Palestin.
Tindakan yang bagus Keanu. Tetapi sedih bila mengetahui saya tidak akan mendengar suara kamu di radio lagi.
Ketika ditanya sama ada dia menerima tawaran daripada stesen radio lain, Keanu menjelaskan buat masa ini dia tidak lagi berminat untuk kembali bertugas di radio.
Untuk rekod, Keanu pernah berkhidmat di Hitz FM selama enam tahun sebagai penyampai segmen malam sebelum mengundurkan diri pada Mei 2024. Kini, dia lebih selesa menggalas peranan sebagai pengacara program bual bicara Borak Seeni di Astro Prima, selain mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan termasuk membintangi drama Mandul Bukan Pilihan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.