Seorang kaunselor eHati, Siti Zaama Rizal Boss, 49, tidak dapat menahan sebak dan menangis di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Rabu selepas dirinya dijatuhi hukuman denda RM4,000 kerana mendedahkan anggota badan sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina dalam satu program motivasi pada September tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Dr Zainal Abidin Kusmin. Mahkamah turut memerintahkan Siti Zaama dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Semasa prosiding, Siti Zaama yang kini tidak bekerja menjelaskan bahawa dia ketika itu sedang berdepan tekanan rumah tangga sehingga mendorongnya bertindak sedemikian.
Saya malu dengan diri sendiri, rasa rendah diri dan menanggung trauma yang kuat seorang diri.
Saya cuma nak buang rasa malu dan meningkatkan keyakinan diri kerana ketika itu, saya menghadapi masalah rumah tangga sehinggakan tidak sedar telah melakukan kesalahan berkenaan.
Tidak diwakili peguam syarie, Siti Zaama turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia hanya mampu membayar RM500 memandangkan dia dan suaminya kini tidak bekerja.
Mengikut pertuduhan, Siti Zaama didakwa menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara mendedahkan anggota badan sehingga boleh dilihat orang lain yang dilarang oleh hukum syarak. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah dewan di pusat konvensyen di Shah Alam, antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam pada 29 September 2024.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwa Syarie, Husaini Roslin, ketika berhujah berkata program motivasi yang dianjurkan kononnya bertujuan memberi peluang kepada pasangan suami isteri memperbaiki masalah rumah tangga, namun cara yang digunakan jelas bertentangan dengan syarak.
Dalam prosiding sama, dua lagi kaunselor, Munirah Hishamshah, 37, dan Bushra Mohd Zaki, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama. Mereka didakwa melakukan kesalahan di lokasi sama antara jam 2.30 petang hingga 6.30 petang pada 30 September 2024.
Munirah diwakili Peguam Syarie Mazli Abdul Muin, manakala Bushra diwakili Peguam Syarie Yusfa Hanis Yusoff. Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac tahun depan. – SINAR HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
