Pelakon Fendy Bakry yang kini sudah hampir sebulan bergelar suami meluahkan rasa syukur dan gembira kerana kehidupannya kini lebih teratur dan tersusun di samping isteri tercinta.
Dia yang sebelum ini mengumumkan berita pernikahan secara tiba-tiba mengakui tiada niat untuk merahsiakan perkahwinan namun hanya memikirkan soal keselamatan berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
Menurut Fendy, majlis perkahwinan yang diadakan hanya boleh menjemput 250 orang namun tidak dapat menghalang tetamu yang hadir meskipun mempunyai had tetamu. Oleh disebabkan itu, Fendy dan keluarga telah mengambil keputusan untuk melaksanakan apa yang penting terlebih dahulu lalu majlis pernikahan telah dirancang dan berlangsung dalam keadaan tertutup.
Ketika ditanyakan mengenai perasaan dan kehidupan selepas berumah tangga, Fendy berkata kehidupannya kini banyak berubah setelah menerima kehadiran suri hati.
“Alhamdullilah seronok.. bangun pagi ada orang dekat sebelah. Kehidupan saya selepas berkahwin lebih tersusu. Syukur ada seorang isteri yang memahami kerjaya saya,”
Dalam pada itu, pelakon drama Mr.Grey dan Kerna Syurga Bukan Percuma ini juga turut mendedahkan cara perkenalan dia dengan isterinya yang dikenali sebagai Ayu itu.
Menurutnya, mereka tidak pernah bercinta dan hanya bergelar kawan biasa sebelum Fendy mengambil keputusan untuk melamar wanita itu dua bulan sebelum majlis pernikahan diadakan.
“Kami jarang berhubung, mungkin sebulan sekali. Terdetik hati saya nak melamar dia sebab nampak ciri kebaikan yang ada pada dia. Lagipun usia saya dah 32. Sudah sampai masa untuk berumah tangga. Jadi saya tanya dia ‘kau nak kahwin tak dengan aku?’ Kami uruskan persiapan perkahwinan pun ambil masa dua bulan saja. Kiranya kami bercinta selepas kahwin..”
Mengimbas kembali, Fendy dan isteri telah selamat mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis sederhana pada tanggal 30 Ogos yang lalu. Tahniah diucapkan buat pasangan ini!
Sumber : mStar Online