Kapal Mewah Equanimity Dijual Kepada Genting Berharga RM514 juta

Trending

Kapal Mewah Equanimity Dijual Kepada Genting Berharga RM514 juta


Kapal layar mewah Equanimity akan dijual kepada Genting Malaysia Bhd, atau syarikat ‘special purpose vehicle’ (SPV) milik Genting, pada harga USD126 juta (RM514 juta).

Peguam Negara Tommy Thomas berkata, penjualan kapal itu dibuat selepas Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur hari ini memberi kelulusan untuk menerima tawaran membeli Equanimity daripada Genting atas Terma-terma dan Syarat-syarat Syerif.

Advertisement

Equanimity disita oleh Jabatan Peguam Negara daripada ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, atau Jho Low, tahun lepas, didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tommy berkata, harga jualan USD126 juta akan dibayar oleh Genting Malaysia Bhd dan diterima oleh mahkamah pada penghujung April 2019.

“Ini bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk Kerajaan Malaysia; dalam jangka masa cuma lapan bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan.

“Jumlah USD126 juta ini ialah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan semenjak Oktober 2018, apabila Equanimity mula-mula sekali diumumkan untuk jualan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tommy berkata banyak tawaran yang telah diterima dalam tempoh tersebut, namun Genting telah menawarkan harga tertinggi dan menerima kelulusan daripada mahkamah.

Jelasnya, tiada komisyen ejen yang perlu dibayar dan ia telah membawa kepada penjimatan sebanyak USD4.4 juta (RM17 juta).

“Kesannya, meskipun nilaian harga pasaran Equanimity oleh Winterbotham sebanyak USD130 juta tidak dicapai, namun pulangan bersih kepada Kerajaan Malaysia ialah yang sebaiknya, kalaupun tidak lebih baik daripada yang dijangkakan.

Beliau juga menyifatkan jualan kehakiman pada nilai USD126 juta itu sebagai “bersejarah” dari mana-mana segi pun.

“Jumlah ini merekodkan tanda aras yang tinggi bagi sistem kehakiman kita dalam hal memastikan nilai pasaran diperoleh daripada kapal yang dijual melalui proses mahkamah, tanpa sebarang diskaun,” tambahnya.

Tommy berkata, harga jualan sebanyak USD126 juta yang berjaya dicapai merupakan hasil daripada kepakaran dan kemahiran Kumpulan Perundangan yang mewakili Kerajaan Malaysia.

Katanya, Kumpulan Perundangan ini telah bertindak melangkaui tuntutan tugas mereka dengan bergerak untuk bertemu pembeli berpotensi di Hong Kong dan London, dan menanggung sendiri kos-kos perjalanan.

“Usaha mereka dilengkapi dengan kerjasama daripada Syerif Mahkamah yang tangkas dan mantap serta profesionalisme dan kesediaan Hakim Admiralti untuk bertindak dalam keadaan-keadaan yang amat luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Tommy berkata kerajaan turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Tentera Laut Diraja Malaysia kerana memberi ruang untuk Equanimity berlabuh selama lebih lima bulan tanpa menggenakan sebarang caj.

Sejak Ogos tahun lalu, kerajaan membelanjakan kira-kira RM14.22 juta kos penyelenggaraan kapal Equanimity.

 

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...