Perkara yang melibatkan kesihatan sepatutnya tidak boleh dipandang enteng oleh semua orang.
Itulah yang dilalui seorang doktor gigi apabila seorang pesakit datang membuat rawatan di kliniknya kerana mengalami kesukaran untuk makan.
Apa yang memeranjatkan doktor itu apabila dia mendapat tahu bahawa pesakit tersebut membuat gigi palsu di sebuah hotel kerana terpedaya dengan harga murah.
Memetik laporan mStar, pada awalnya pesakit tidak mengaku membuat gigi palsu di sebuah hotel namun setelah disoal beberapa kali pesakit akhirnya mengaku membayar RM500 untuk gigi palsu berkenaan.
Difahamkan, gigi palsu itu dibuat sejak dua tahun lepas kerana ingin berkahwin dan apabila dapat tawaran murah dia terus terima.
Oleh kerana gigi palsu yang dibuat mempunyai kualiti yang sangat rendah, Doktor Arif berkata semua gigi pesakit itu terpaksa dicabut.
Doktor Arif juga sempat menasihatkan supaya mendapatkan rawatan dengan doktor-doktor yang dipercayai dan meminta supaya melaporkan ke pihak berkuasa jika terjumpa doktor gigi yang mencurigakan atau mereka yang memberikan perkhidmatan selain di klinik gigi.