Sejak penularan wabak COVID-19, ramai yang mengambil kesempatan untuk menjual topeng muka dan ‘hand sanitizer’. Kedua-dua barang ini memang banyak permintaan dan ibarat pisang goreng panas.
Datuk Seri Aliff Syukri juga tidak ketinggalan untuk menjual produk terbarunya iaitu topeng muka yang dikatakan kalis air dan dijual pada harga RM25 sekeping.
Seperti biasa, Aliff mempromosikan produk itu di Instagram Live dan mendakwa topeng muka tersebut tidak boleh ditembusi virus COVID-19 kerana mempunyai dua lapisan. Dia membuat demonstrasi membuktikan topeng keluarannya itu tidak berjaya ditembusi angin.
Selepas itu, netizen mencabarnya melakukan ujian kalis air untuk melihat benar atau tidak topeng itu mampu menghalang air daripada menembusinya. Malangnya “eksperimen” tersebut gagal apabila air yang dituang menitis ke bawah menembusi topeng yang didakwa “kalis air”. Memang dengan jelas kelihatan ia bocor.
Tidak mahu kalah dan bengang dengan komen netizen, Aliff sekali lagi melakukan eksperiman yang sama ke atas topeng muka “standard’ yang selalu digunakan. Nampaknya, sekali lagi dia terkedu apabila ternyata topeng muka itu tidak bocor.
“Kantoi menipu, berniaga tidak jujur” – Netizen
Seperti sudah dijangka, video tersebut tular di media sosial dan Aliff dikecam teruk oleh netizen. Mereka meminta Aliff untuk lebih jujur dalam perniagaan, jangan menipu untuk mengaut keuntungan semata-mata.
Biasalah, ahli perniagaan pasti akan gunakan pelbagai cara untuk melariskan produk mereka. Kita sebagai pengguna haruslah bijak untuk membuat pilihan sendiri untuk beli ataupun tidak.