Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi, 35, terpaksa akur dengan kekalahan apabila tumbang kepada petinju Indonesia, Yunus Martin, 30, dalam acara kemuncak Warzone World Championship (WWC) yang berlangsung di N9 Arena, Nilai pada Ahad malam.
Aksi yang dinanti ramai itu menyaksikan Yusuf bermula garang seawal pusingan pertama, mendapat sorakan padu daripada penonton di arena. Beliau beberapa kali melancarkan kombinasi tumbukan kuat, namun masih belum mampu menembusi pertahanan Yunus.
Namun momentum Yusuf mula berubah sebaik memasuki pusingan kedua. Strateginya yang memulakan pertarungan dengan intensiti tinggi sejak awal ternyata memakan dirinya apabila tahap kecergasan mula menurun. Yunus mengambil kesempatan itu untuk membalas dengan kombinasi pukulan yang lebih kemas, sekaligus mengumpul mata demi mata.
Ketika memasuki pusingan ketiga, keletihan jelas menjejaskan rentak Yusuf. Yunus pula semakin agresif, melancarkan asakan bertubi-tubi sehingga Yusuf kelihatan terhuyung-hayang di tengah gelanggang.
Melihat keadaan itu, pasukan Yusuf mengambil keputusan drastik dengan melemparkan tuala putih, memaksa pengadil menamatkan pertarungan dengan baki 22 saat. Yunus kemudiannya diumumkan menang menerusi technical knockout (TKO) kemenangan sulungnya di Malaysia.
Pertarungan ini turut mencuri perhatian kerana WWC sebelum ini mencetuskan kontroversi susulan gimik pemasaran mereka yang menerima kecaman ramai.
Walaupun tewas, keberanian Yusuf memasuki gelanggang profesional tetap mendapat pujian peminat yang hadir memberi sokongan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
