Ibu termuda yang dirakam dalam sejarah ialah seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang melahirkan seorang bayi pada tahun 1939. Kejadian ini walaupun mengagumkan, namun boleh dikatakan menyedihkan kerana ternyata seseorang telah merogol budak itu pada usia itu sehingga dia mengandung.
Kanak-kanak itu dikenali dengan nama Lina Medina, berusia lima tahun sewaktu dia dibawa berjumpa pakar bedah, Dr. Geraldo Lozada. Menurut Lozada, Lina yang memiliki perut memboyot pada masa itu kelihatan takut sewaktu dibawa berjumpa dengannya oleh ibunya. Ibunya menyangka anaknya dirasuk roh jahat dan mengalami ketumbuhan di bahagian perut. Wanita itu meminta ‘ketumbuhan’ yang dialami oleh anaknya dibedah.
Namun pemeriksaan Lozada mendapati kanak-kanak itu pada masa itu telah mengandung lapan bulan. Enam minggu selepas itu Lina telah melahirkan anak lelaki seberat 2.7 kg secara pembedahan kerana tulang pelviknya terlalu kecil untuk melahirkan bayi secara normal. Bayi itu diberi nama Geraldo sebagai penghargaan kepada doktor yang membedahnya.
Geraldo telah dibesarkan dengan diberitahu yang Lina ialah kakaknya, sehinggalah dia berusia sepuluh tahun, dia mendapat tahu yang Lina ialah ibu kandungnya.
Namun siapa sebenarnya bapa bayi itu adalah misteri sehingga ke hari ini kerana Lina tidak dapat memberikan jawapan yang jelas. Bapa kandung Lina kemudiannya ditangkap kerana disyaki merogol, namun dibebaskan kerana kekurangan bukti.
Lina kemudiannya berkahwin dengan seorang lelaki bernama Raúl Jurado dan melahirkan anak kedua pada tahun 1972.
Lina masih hidup sehingga ke hari ini dan pernah menolak untuk ditemubual oleh Reuters pada tahun 2002, manakala bayi yang dilahirkannya telah meninggal dunia pada usia 40 tahun pada tahun 1979 kerana penyakit sum-sum tulang.