Bazar ramadan sememangnya sesuatu yang dinantikan apabila tiba bulan mulia. Ianya menjadi tempat bagi umat Islam membeli juadah untuk berbuka puasa dan bersahur. Terdapat pelbagai pilihan makanan di bazar ramadan di seluruh negara terdiri dari hidangan lauk pauk, roti, kuih muih, air minuman dan banyak lagi.
Namun malang bagi empat adik beradik apabila kesemua mereka dimasukkan ke hospital setelah menjamah Roti John di bazar ramadan Taman Sri Muda, Shah Alam, Ahad lalu.
Mangsa dikenali sebagai Nurul Qaisarah Hamdan, 13, Muhammad Qayyim, 11, Nur Qatrunnada, 9, dan Nurul Qasihdayana, 4.
Tiga daripada lima beradik yang mengalami keracunan makanan itu dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selasa lalu, selepas mengalami muntah-muntah dan cirit-birit.
Bapa mangsa, Hamdan Mohd Nasir, 40, berkata, Nurul Qiasarah dimasukkan ke hospital sama malam kelmarin kerana mengalami simptom sama.
Katanya, sebelum kejadian, beliau membeli tiga bungkus roti John dan separuh daripadanya diberikan kepada anak sulungnya yang berusia 15 tahun yang tinggal di asrama di sebuah sekolah di sini.
Memang setiap tahun kami sekeluarga akan membeli roti John di bazar berkenaan. Tidak sangka tahun ini anak-anak saya mengalami keracunan makanan.
Anak lelaki ketiga kami Muhammad Qayyim yang sakit teruk kerana beliau yang banyak makan roti John itu.
Selain cirit-birit dan muntah, anak-anak saya turut mengalami kekejangan otot dan muka menjadi pucat.
Kebersihan makanan memang sudah lama menjadi isu makanan di bazar-bazar ramadan. Atas faktor kesihatan, ramai yang menyediakan sendiri juadah berbuka di rumah dan ada juga yang hanya membeli dari peniaga yang biasa menjual makanan di hari biasa semasa di bazar ramadan.
Ini kerana peniaga yang hanya berniaga di bulan Ramadan atas faktor mendapatkan keuntungan segera dikatakan sering mengitar semula makanan, mengenakan harga tidak masuk akal dan rasa makanan juga tidak memenuhi piawaian.
Oleh itu, berhati-hatilah memilih juadah berbuka di bazar ramadan.
Laporan asal: Berita Harian