Polis berjaya menahan seorang pemandu ‘cilik’ di sebuah lebuh raya Utah berhampiran Ogden baru-baru ini. Pegawai tersebut pada mulanya menganggap pemandu yang membawa kenderaan jenis SUV tersebut adalah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Ini kerana fizikal pemandu tersebut yang berbadan kecil dan pendek sewaktu memandu di sepanjang lebuh raya. Dia bagaimanapun seakan tidak percaya apabila mendapati pemandu tersebut sebenarnya ialah seorang kanak-kanak lelaki yang baru berusia lima tahun.
Lebih memeranjatkan, kanak-kanak tersebut ingin menuju ke California yang jaraknya lebih 800 batu (1287 kilometer) dari kawasan tempat tinggalnya.
Perkara ini telah dikongsikan ke dalam laman Twitter UTHighwayPatrol. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, pihak polis masih bingung bagaimana kanak-kanak berusia lima tahun boleh ‘curi-curi’ memandu kereta milik ibu bapanya.
Mengikut laporan yang diceritakan, kanak-kanak lelaki tersebut merajuk dengan ibunya kerana enggan membelikannya sebuah kereta Lamborghini. Tidak dapat dipastikan sama ada Lamborghini yang dimaksudkan adalah kereta mainan atau kereta sebenar.
Selepas adegan bertengkar dengan ibunya dan mengetahui kereta tersebut tidak akan dibelikan, kanak-kanak lelaki tersebut nekad untuk membeli sendiri. Pihak polis menjumpai wang sebanyak AS$3 (RM13) dalam dompet kanak-kanak lelaki itu ketika mengadakan siasatan.
Netizen memberikan komen yang rata-ratanya terkejut dengan keberanian seorang budak memandu jarak yang jauh ketika dalam tempoh kuarantin. Ada juga segelintir netizen yang memuji semangat keberanian yang dimiliki tetapi ditonjolkan dalam perkara yang salah.