Tular rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun apabila dia selamba memandu treler di tengah lebuh raya dekat Tol Cikampek menuju ke Tasikmalaya.
Ketua Perhubungan Awam Satuan Kewilayahan Kepolisian Daerah (Polda) Metro Jaya Yusri Yunus mengesahkan kejadian itu berlaku pada April tahun lalu.
Menurutnya, kanak-kanak itu diminta memandu treler oleh pemandu asal yang juga bapa saudaranya.
“Kanak-kanak ini hanya memandu treler itu selama 30 minit saja dari kilometer 12 Tol Cikampek menuju kawasan rehat di kilometer 19 Tol Cikampek”.
“Dia diminta bapa saudaranya memandu sebentar kerana bapa saudaranya itu mengantuk”.
Direktur Lalu Lintas (Dirlantas) Polda Metro Jaya, Sambodo Purnomo Yogo berkata, pihaknya membentuk satu pasukan bagi menyiasat perkara yang tular di media sosial.
Katanya, hasil siasatan berdasarkan rakaman video dan keterangan, pihaknya menemui identtiti kenderaan dan pemandu terbabit.
“Kenderaan itu kita tahan di perindustrian PT STA di Jakarta Utara, kelmarin. Kita masih menyiasat lanjut petunjuk ekploitasi dilakukan pemandu itu kepada kanak-kanak terbabit”.
Video tersebut menunjukkan kanak-kanak itu memegang rokok sambil memandu treler berwarna hijau. Ketika ditanya arah tujuan, dia menjawab ke Tasikmalaya dan memberitahu usianya baru 12 tahun.