‘Mat rempit’. Satu gelaran yang sudah sinonim dengan mat-mat motor di luar sana. Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila golongan mat rempit berkait dengan masalah di atas jalan raya.
Itulah yang terjadi di Pasir Mas, Kelantan di mana dua remaja berjaya dicekup oleh pihak berkuasa selepas melakukan aksi ‘wheelie‘ di atas motosikal berdekatan dengan kawasan parit air berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Kala.
Menerusi laporan Sinar Harian, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintenden Shuhaimi Jusoh menyatakan bahawa kedua-dua remaja 15 tahun itu ditangkap semasa melakukan aksi tersebut di atas motosikal berjenama Honda EX5 pada pukul 6.50 petang.
Aksi tersebut dilihat semasa pihak berkuasa sedang menjalankan OP samseng jalanan dan difahamkan semasa aksi itu dilakukan, penunggang dan pembonceng tidak memakai topi keledar.
Menurut Shuhaimi juga, anggota yang bertugas terus mendekati remaja berkenaan dan menahannya di kawasan tepi parit berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Kala dan terus dibawa ke Cawangan Trafik IPD Pasir Mas untuk tindakan seterusnya.
Kedua-dua remaja juga dikatakan bebas rekod jenayah lampau dan saringan air kencing mendapati mereka juga negatif pengaruh dadah. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.