Bukan soal duit, tapi soal maruah dan warisan! Itulah nada tegas pelakon dan aktivis masyarakat, Rafidah Ibrahim, yang lantang mempertahankan tanah asal keluarganya di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, daripada terus tergadai atas nama pembangunan.
Dalam satu wawancara bersama The Merdeka Times, Rafidah menegaskan bahawa perjuangan mereka kini bukan lagi berkisar pada pampasan, sebaliknya memastikan tanah itu kekal milik penduduk asal yang telah lama menetap di situ – generasi demi generasi.
“Kami nak pemilikan, kami nak kekalkan warisan kami, keluarga kami, pemilikan kami di Kampung Sungai Baru. Bukan duit pemaju yang tak berapa sen itu,” katanya lantang.
Rafidah juga mempersoalkan kewajaran memindahkan penduduk — terutamanya golongan warga emas — ke rumah baharu yang memerlukan mereka membuat pinjaman semula, sedangkan kebanyakan mereka telah melunaskan hutang rumah sedia ada.
“Macam mana mak cik-mak cik, pak cik-pak cik umur 60-an, 70-an nak buat loan apa?” katanya yang menyifatkan cadangan itu hanya membebankan mereka yang sudah sepatutnya menikmati hari tua dengan tenang.
Rafidah turut menjelaskan kekeliruan bahawa beliau dan keluarganya telah menerima pampasan dari pemaju.
Saya sekeluarga, pewaris-pewaris, yang memang ada hak kepada duit tu, kami satu sen pun tidak menyentuh duit tu lagi.
Kalau bahasa kasar lah saya cakap eh, keluarga saya ni tak kisahlah kami ni senang atau susah ke, kami tak hauk dekat duit tu.
Menurutnya, pampasan telah dimasukkan ke dalam Amanah Raya tanpa persetujuan mereka, dan ia jelas menunjukkan unsur paksaan seolah-olah apabila duit sudah diberi, maka penduduk perlu mengosongkan tanah.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.