Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tampil menepis pelbagai spekulasi yang timbul berhubung insiden melibatkan anak saudaranya, Amad Dayyan, yang tiba-tiba mengalami masalah kesihatan sebelum membuat persembahan di malam Grand Finale program Talk To My Manager (TTMM).
Menerusi satu hantaran di Instagram, Siti, 46, menjelaskan bahawa Amad berada dalam keadaan baik dan bersedia sepenuhnya ketika sesi raptai bersama penyanyi Nadeera sebelum acara bermula.
Sesi latihan Amad Dayyan bersama Nadeera berjalan dengan baik. Amad berada dalam keadaan sihat, cergas dan benar-benar bersedia untuk persembahan. Namun, takdir menentukan sebaliknya pada malam Grand Finale.
Menurut pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu lagi, keluarganya mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dan menegaskan bahawa apa yang terjadi bukan berpunca daripada masalah kesihatan, tekanan mahupun komen netizen.
Sebagai ahli keluarga, kami tahu apa yang sebenarnya berlaku. Bukan disebabkan faktor kesihatan, komen-komen netizen atau keletihan.
Tetapi sebagai manusia biasa, kita percaya ada perkara yang berlaku di luar jangkaan dan di luar logik akal, namun itulah hakikat kehidupan.
Siti turut menyeru orang ramai agar menghormati privasi Amad dan keluarganya serta tidak membuat sebarang andaian tanpa usul periksa.
Bagi mereka yang berada di lokasi, pasti tahu apa yang terjadi. Demi berlaku adil kepada Amad, kami harap tiada pelbagai andaian dibuat kerana hanya mereka yang menyaksikan sendiri memahami situasinya
Terdahulu, Amad dilaporkan gagal menghabiskan persembahannya menerusi lagu Bukan Karena Cinta dan Bukan Lagi Kita pada malam Grand Finale TTMM yang berlangsung di Shah Alam, Ahad lalu.
Menurut laporan, pasukan perubatan mengesahkan tiada sebarang masalah kesihatan dikesan dan punca sebenar keadaan Amad masih belum diketahui.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.