Melalui laporan Sinar Harian, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Tan Sri Azam Baki menegaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang arahan daripada mana-mana pihak untuk mengarahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, siasatan terhadap Perdana Menteri yang ke-9 itu dilakukan selepas mendapat aduan dan maklumat yang diterima oleh SPRM.
Kami menyiasat secara profesional dan adil, tanpa melihat sebarang darjat atau kedudukan. Tiada arahan daripada sesiapa. Kami bertindak sendiri.
Menurut Azam lagi, pihaknya akan menyiasat perkara ini dengan teliti serta akan menyiasat sesiapa sahaja yang disyaki terlibat serta mendapat manfaat.
Sekadar info, Ismail Sabri telah disiasat untuk kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan serta perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia.