Angkasawan Negara pertama Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor semalam telah mengumumkan bakal menerima sepasang kembar untuk kali kedua, tidak lama lagi.
Berita menggembirakan itu dikongsi oleh Dr Sheikh Muszaphar di laman instagram dan menurut beliau, Datin Dr. Halina kini sedang hamil tiga bulan.
Menulis panjang di ruangan kapsyen entri berkenaan, Dr. Sheikh Muszaphar meluahkan rasa gembira sehingga tidak dapat berkata-kata.
“Saya gembira, tidak dapat berkata-kata. Ianya seperti dejavu sekali lagi!”
Dalam kegembiraan menerima berita tersebut, Dr. Sheikh sempat memberitahu risiko mengandung anak kembar untuk kesekian kalinya.
“Kami selalu mahukan keluarga besar. Tetapi mengandung anak kembar mempunyai risiko yang tinggi seperti yang pernah kami alami sebelum ini. Mual berganda, muntah berganda, kembung berganda, teringin berganda. Pendarahan juga berganda seperti yang dialami oleh isteri sebelum ini,”
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Dr. Halina kerana walaupun berbadan dua, isterinya itu masih bekerja sebagai petugas barisan hadapan (frontliners) yang merawat pesakit COVID-19.
Peminat dan pengikut Dr. Sheikh Muszaphar menghujani ruangan komen entri berkenaan dengan ucapan tahniah dan ada yang sempat bertanyakan tips untuk mendapatkan cahaya mata kembar.
Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010 dan hasil perkahwinan itu mereka kini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha dan kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah.