April 21st, 2016

Dua tahun berkahwin, pasti ramai yang menantikan pasagan Puteri Sarah dan Syamsul Yusof untuk mempunyai cahaya mata mereka sendiri.

Hampir setiap masa, mereka berdua diajukan dengan soalan tersebut dan pelbagai spekulasi mula timbul.

Jelas Puteri Sarah kepada Harian Metro baru-baru ini,  sejak beliau mengalami keguguran pada tahun 2014, Puteri Sarah dan suami tidak pernah putus asa untuk mendapatkan cahaya mata.

Namun, mereka akur bahawa hal ini juga bergantung kepada rezeki dan mereka akan sentiasa bersabar menantikan detik untuk bergelar ibu dan bapa. Puteri Sarah pada masa yang sama bersyukur kerana keluarga beliau dan keluarga mentua tidak memberikan sebarang tekanan untuk beliau mendapatkan anak.

Kami sentiasa berusaha ke arah itu. Siapa yang tidak mahukan anak, cuma dalam perkara ini ia bergantung kepada rezeki. Jadi, saya dan suami kena sentiasa sabar.

Kami juga belum terdesak nak memiliki anak. Bukan apa, saya percaya aturan Allah SWT itu lebih baik. Kalau bukan sekarang mungkin tahun depan. Apa-apa pun jangan berhenti daripada terus berdoa.

Berdasarkan foto-foto yang dimuat naik oleh Puteri Sarah dan Syamsul, ramai yang memuji bahawa pasangan ini kelihatan manis bersama dan cukup bahagia.

Malah, Puteri Sarah akui mereka melalui hari-hari yang cukup indah sama seperti mereka mula-mula bercinta dahulu.

Saya selalu cakap kepada suami, selepas berkahwin tidak mahu menjadi pasangan yang bosan. Macam mana yang dilalukan ketika bercinta dulu, sama juga selepas kahwin. Sebagai contoh, apabila kami ada kerja di luar dan tidak bersama, kami saling menghantar mesej. Seboleh-bolehnya kami tidak mahu memadam terus momen bercinta itu. Ibaratnya, setiap hari adalah bercinta.

Kalau boleh setiap tahun mahu bercuti sama ada di dalam atau luar negara. Bagi saya, perkara itu dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Selain itu, setiap tarikh penting ‘dalam hidup kami perlu diraikan’. Syamsul pun tidak kisah, malah dia boleh layan dan terima. Sehinggakan dia selalu cakap, dalam diri saya ini penuh dengan kasih sayang dan sikap ambil berat. Sebab itu, dia sebagai suami cuba untuk memenuhi setiap permintaan saya.

Kami mendoakan agar Puteri Sarah dan Syamsul Yusof kekal bahagia sehingga akhir hayat dan dikurniakan rezeki untuk mendapatkan cahaya mata. InshaAllah. Pedulikan apa sahaja kritikan orang, kami pasti satu hari nanti ada peluang untuk anda berdua bergelar ibu dan bapa.

Sumber Berita : Harian Metro


Comments are closed.

Loading...