Ketegangan berpanjangan antara Iran dan Amerika Syarikat dilihat telah menjadikan Selat Hormuz sebagai laluan berisiko tinggi, sekali gus memberi kesan kepada pergerakan kapal serta meningkatkan cabaran dari segi logistik dan kos.
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Iran di Malaysia memaklumkan bahawa kapal Malaysia menjadi yang pertama berjaya melalui Selat Hormuz selepas tempoh lama laluan tersebut terganggu, menyebabkan banyak kapal antarabangsa terkandas.

Menerusi satu hantaran ringkas di media sosial, kedutaan itu turut menegaskan hubungan baik antara kedua-dua negara, selain mengingatkan bahawa Iran tidak melupakan negara sahabatnya.
“Kami telah menyatakan bahawa Republik Islam Iran tidak melupakan sahabat-sahabatnya. Kapal Malaysia yang pertama telah melalui Selat Hormuz,” menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, menjelaskan bahawa kapal Malaysia diberikan keistimewaan untuk merentasi laluan strategik itu tanpa sebarang bayaran.
“Tiada masalah kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mesra, dan negara-negara mesra boleh menggunakan selat tersebut,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama New Straits Times di Kedutaan Iran di sini, pada penghujung bulan lalu.
Perkembangan ini dilihat sebagai satu isyarat diplomatik penting di tengah ketidaktentuan geopolitik yang terus mempengaruhi laluan perdagangan global.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
