Kelab bola sepak tempatan, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak pempengaruh yang dikenali sebagai CEO Batu daripada peranan sebagai Duta Rasmi kelab itu, berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial rasmi KDA FC, yang menegaskan bahawa kelab tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan salah yang boleh memberi kesan kepada reputasi pasukan.
Pihak KDA FC telah mengambil maklum berkenaan isu berkenaan salah seorang Duta Rasmi KDA FC. Pihak KDA FC tidak berkrompomi dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah laku dari segi undang-undang.
Oleh yang demikian, pihak KDA FC dengan ini telah menamatkan kontrak CEO Batu serta-merta.
Tindakan ini dipercayai susulan siasatan polis yang sedang dijalankan ke atas pempengaruh terbabit.
Sebelum ini, CEO Batu telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan bahawa dia menghantar gambar lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Lelaki itu dikatakan telah tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada 22 Mei lalu, sebelum dikenakan perintah reman pada 23 Mei bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih lanjut.
Insiden ini dipercayai menjadi punca utama KDA FC membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan pempengaruh berkenaan sebagai Duta Rasmi kelab.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.