Apa yang berlaku didalam kes rumah tangga Syed Aiman dan Linda Rafar agak rumit dan penuh dengan persoalan. Meskipun Linda sudah hadir ke mahkamah bagi mengesahkan lafaz cerai yang dilakukan pada minggu lepas, nampaknya Syed Aiman masih bertegas ianya tidak pernah berlaku dan mereka masih lagi tinggal sebumbung. Menurut Syed Aiman, mereka masih lagi pasangan suami isteri yang sah.
Bagi saya tak ada apa-apa pun yang berlaku antara kami. Memang kami ada bergaduh kecil tapi tak sampai saya lafazkan cerai kepadanya. Memang banyak kenyataan yang keluar daripadanya tidak wujud dan terjadi. Saya pun sudah menafikannya dalam program Melodi TV3 semalam. Tapi biasalah dia sedang mengandung dan pastinya emosi turun naik. Orang ’emo’ (emosi) cakap macam inilah.
Tambah Syed Aiman, tindakan Linda untuk meluahkan masalah yang sedang dihadapi mereka kepada media sosial membuatkan perkara tersebut menjadi lebih besar kerana pengaruh orang ramai.
Perkara ini kecil sahaja. Tapi sudah jadi besar dan kecoh satu dunia. Dengan kemudahan teknologi sekarang, kita bebas berbuat apa tanpa berfikir panjang. Hanya dengan memuat naik gambar di laman Instagram dan kemudian dia ‘dicucuk’ dan ditanya peminat, maka terjadilah benda yang tak sepatutnya terjadi.
Saya tekankan memang tak berlaku perceraian antara kami. Jadi tak ada sebab untuk saya ke mahkamah. Cuma apabila terjadi perkara sebegini, dia yang ‘panas’, saya kena jadi yang ‘sejuk’. Malah selepas membuat kenyataan di Melodi saya ada bercakap dengannya. Sebagai suami saya nasihat dia dan dia kena fikir panjang.
Sekarang ini, Syed Aiman betul-betul membuatkan peminat dan semua pihak semakin keliru dengan kenyataaan yang bercanggah dengan apa yang pernah dikatakan oleh Linda. Tapi kalau hendak difikirkan logiknya, apa salah untuk Syed Aiman pergi ke mahkamah dan dapatkan penjelasan yang lebih mengenai isu ini. Kami rasa tidak mungkin Linda suka-suka sahaja membuat pengesahan lafaz cerai tersebut.