Tampil dengan tema ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’ untuk tayangan sempena Syawal tahun ini, program hiburan terkenal Melodi nampaknya ternyata mencuri perhatian penonton apabila telah ‘menghubungkan silaturrahim’ antara Izreen Azminda dan bekas madunya, Intan Liana Saleh.
Namun, ada juga yang mengecam pendekatan Melodi kerana merasakan tindakan pengacara rancangan tersebut iaitu Janna Nick dan Awal Ashaari seolah-olah tidak sensitif apabila melontarkan soalan kepada Intan Liana.
View this post on Instagram
Hasil tinjauan mendapati rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan soalan yang keluar daripada mulut Janna Nick ketika sesi curahan hati antara Izreen dan Intan itu.
Antara soalan yang didakwa tidak sensitif itu termasuklah ‘sudah jumpa pengganti atau belum’ kepada Intan Liana.
Disebabkan oleh hal itu, warga maya mula mempersoalkan mengapakah Melodi tidak menjemput Sheila Rusly dalam program tersebut dalam usaha untuk menghubungkan kembali silaturrahim bersama dengan Janna.
“Tak tahulah apa depa (pasukan Melodi) cakap sampai Intan itu setuju nak datang. Dekat YouTube semua tanya ‘awat tak jemput Sheila Rusly jumpa si Janna Nick tu..”
“Kami mahukan sis Sheila Rusly dan Janna Nick dalam #MelodiRaya..” tulis seorang lagi pengguna media sosial di laman Twitter.
Terdahulu, Sheila Rusly dan Janna memang diketahui mempunyai hubungan yang sangat akrab dan sekaligus menjadikan penyanyi lagu Mungkin Saja itu pilihan utama untuk menjadi pelakon utama dalam setiap drama terbitan JS Pictures.
Namun, sekitar awal tahun 2019, kedua-duanya dilihat semakin renggang di atas sebab yang tidak diketahui sehingga kini.
Kemelut itu bermula apabila Sheila telah memuat naik status di Instagram seolah-olah menyindir Janna namun telah dinafikan penerbit drama terkenal itu.
Jelas Sheila, apa yang terjadi antara dirinya dan Janna terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum kerana turut melibatkan ahli keluarganya.