Pelakon Yusuf Bahrin mengakui tidak pernah menyangka rumah tangga yang dibina bersama penyanyi Zizi Kirana akhirnya berakhir dengan perceraian.
Ketika ditemui, Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 34, memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas kedua-dua pihak berusaha mempertahankan perkahwinan sejak 2021.

“Hari ini adalah hari perceraian saya dengan bekas isteri saya, Zizi Kirana. Tak ada siapa dan tak ada satu pun pasangan dalam dunia ini yang sukakan perceraian.”
“Kami dah buat yang terbaik, kami dah cuba sedaya upaya untuk selamatkan, tapi benda jadi macam ni.”
“Dalam kisah hidup saya dan dia, inilah pengakhirannya, yang saya tak pernah jangka dan saya tak pernah tahu akan terjadi dalam hidup saya.”
Bagaimanapun, Yusuf memilih untuk tidak mendedahkan punca keretakan rumah tangga mereka dan hanya berharap orang ramai mendoakan yang terbaik buat kedua-duanya.
“Tak apa, itu biar saya saja yang tahu, saya dengan dia je tahu. Kami berpisah secara baik dan tak ada permusuhan, tak ada apa-apa dendam, Alhamdulillah.”
“Jadi, saya minta doa daripada kalian semua dan juga yang lain yang tengok video ni nanti, doakanlah kebahagiaan kita dan orang lain, insyaAllah.”
Sebelum ini, netizen mula menghidu pergolakan hubungan mereka apabila pasangan tersebut dilihat tidak lagi mengikuti akaun media sosial masing-masing selain tidak menyambut Aidilfitri bersama.
Untuk rekod, Yusuf dan Zizi mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 dan belum dikurniakan cahaya mata.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Yusuf berkata mereka akan terus memberi sokongan terhadap kerjaya masing-masing meskipun sudah tidak bersama.
“Saya dan dia akan fokus kerja, kerjaya masing-masing. Saya akan terus sokong dia, dan dia pun akan terus sokong saya punya karier, insyaAllah.”
Pada Khamis, pasangan ini sah bercerai talak satu secara raj’ie di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
