Pernah gagal dalam percintaan bersama Intan Ladyana sebelum ini selepas enam tahun bercinta dan hubungannya dengan Emma Maembong juga terkandas, pelakon Kamal Adli mengakui dia banyak melakukan kesilapan sehingga beberapa percintaannya berakhir.
Menurut Kamal, hubungan cinta yang panjang membuatkan dia merasa selesa sehingga tidak pernah meletakkan matlamat untuk kahwin selain dirinya yang suka mengambil mudah terhadap pasangan.
Saya tak nak menyalahkan mana-mana pihak, mungkin salah itu pada saya. Saya melalui hubungan yang panjang dengan setiap pasangan dan kira-kira 12 tahun dalam hubungan percintaan. Bila hubungan terlalu panjang membuatkan saya selesa dan tidak meletakkan matlamat untuk berkahwin.
Saya juga sering terlupa tarikh-tarikh penting yang biasanya diingati oleh pasangan yang baru bercinta. Perkara itu nampak remeh bagi lelaki tetapi besar bagi perempuan yang banyak memendam perasaan.
Kamal berkata dia tidak serik untuk bercinta lagi, hatinya tidak pernah tertutup untuk menerima cinta baharu dan mencari pasangan yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga.
Siapa tak nak bercinta? Siapa tak nak kahwin? Umur saya pun dah berapa. Tunggu, InsyaAllah. Kamal pun berkawan sahaja, tengoklah macam mana.
Bukan mudah sebenarnya untuk memulakan hubungan cinta baharu. Jangan terburu-buru memilih pasangan agar tidak menyesal di kemudian hari. Kami doakan agar satu hari nanti Kamal akan dipertemukan dengan wanita yang sesuai dengannya.