Selebriti popular Neelofa meluahkan rasa terkilan terhadap mereka yang menyokong dan membeli barangan tiruan. Buat Neelofa, beliau sama sekali tidak akan memakai barangan tiruan sekiranya beliau masih belum mampu untuk memiliki barangan jenama mewah yang menjadi idamannya.
Sebaliknya Neelofa akan berusaha lebih keras untuk mendapatkan sesuatu yang beliau inginkan.
Kalau saya tiada duit untuk beli barang berjenama, saya memang tidak akan beli langsung. Saya memang tidak akan beli sama ada ia gred A atau gred B sekali pun. Tapi saya jadikan ia sebagai satu motivasi agar satu hari nanti saya boleh beli juga barang yang diinginkan itu.
Macam sekarang pun saya masih lagi simpan impian nak membeli-belah tanpa memikirkan banyak kali sama ada harga barang itu mahal atau tidak.
Neelofa juga bersetuju dengan cara sebuah laman Instagram @streetwearbustamy yang mendedahkan penggunaan barang tiruan oleh artis dan juga Instafamous. Sedikit sebanyak ia mampu memberikan kesedaran kepada masyarakat.
Ini adalah masanya untuk kita motivasikan diri jika ingin mendapatkan barangan yang harganya terlalu tinggi. Usaha lebih keras supaya satu hari nanti kita mampu beli barangan yang diidamkan dan bukannya membeli barangan tiruan.
Terdahulu, @streetwearbustamy mendedahkan beberapa selebriti popular menggayakan barangan jenama tiruan berdasarkan siasatan dan pemerhatian yang dilakukan menerusi foto yang dimuat naik oleh mereka di akaun Instagram. Antara artis yang dikantoikan berbuat demikian ialah Emma Maembong, Fathia Latiff, Ismail Izzani, Janna Nick, Aiman Tino, Haqiem Rusli, Ara Johari, Zoey Rahman dan Fara Mendoza. Barangan tiruan yang digayakan terdiri daripada jenama Supreme, Gucci, Louis Vuitton dan Air Jordan.