Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sekali lagi membuktikan semangat juangnya apabila meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu di Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Perth, Australia Ahad lalu.
Walaupun sekadar gangsa, Azizulhasni berkata kemenangan itu terasa seperti emas kerana berjaya menewaskan pelumba Israel, Mikhail Yakovlev.

Menurut atlet berusia 38 tahun itu, beliau memilih untuk terus berlumba walaupun sedar lawannya memiliki kelebihan dari segi fizikal dan catatan masa.
“Bagi saya kenapa nak tarik diri? Kalau tarik diri dia akan menang. Jadi lebih baik saya lawan walaupun dia lebih kuat dan saya pula masih belum berada di prestasi terbaik,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Azizulhasni turut mengakui catatan masa Yakovlev sekitar 9.4 saat manakala beliau sekitar 9.6 atau 9.7 saat, namun pengalaman serta taktikal bijak membantunya menewaskan lawan tersebut dengan keputusan 2-0.
“Kalau tengok atas kertas memang dia pilihan. Catatan masa dia sekitar 9.4 saat, sedangkan saya sekitar 9.6 atau 9.7 saat,” jelasnya secara realistik.
Tambahnya, kemenangan itu lebih bermakna kerana diraih ketika Ramadan serta melalui perlumbaan yang sangat mencabar.

“Saya sebenarnya kalau boleh tak mahu lawan dia. Saya harap dia menang separuh akhir lawan pelumba Australia supaya saya tak perlu bertemu dengannya. Tapi sebaliknya berlaku dan saya memilih untuk berlumba serta kalahkan dia dengan cara saya.”
“Alhamdulillah saya menang. Walaupun gangsa, rasanya seperti menang emas kerana situasi perlumbaan itu sangat mencabar dan mungkin juga kerana ia bulan Ramadan,” katanya.
Selain gangsa dalam acara pecut, Azizulhasni turut mencipta kejayaan apabila merangkul pingat emas dalam acara kegemarannya, keirin, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

