Pensohor media sosial, Khairulaming (KA) semalam tampil memberi respon setelah dia ditegur seorang doktor perubatan terkenal gara-gara membuat ‘content’ masakan terlampau banyak minyak dan sekaligus boleh memudaratkan kesihatan.
Kata KA, sebagai pencipta kandungan, dia bertanggungjawab berkongsi realiti serta cara asal penyediaan makanan yang sememangnya lazim buat masyarakat Malaysia.
Ujarnya, dia boleh mengubah atau mengolah cara penyediaan dan resipi namun hasilnya mungkin berlainan dan tidak sedap lagi seperti yang asal.
Kalau nak ayam goreng yang juicy dan crispy, kena deep fried dalam minyak yang banyak. Itulah cara ia disediakan. Kalau nak ubah, boleh, tapi jadi tak sedap macam asal, itu saja.
Saya tunjuk kena pakai berapa sudu gula, minyak semua tu, sebab saya nak bagi realiti. Itulah cara sebenar makanan disediakan di luar sana. Kalau awak tak biasa masak, pergi kedai makan, awak tak rasa bersalah sangat.
Jelasnya lagi, mungkin sesetengah orang tidak mengetahui cara penyediaan sesuatu masakan yang kadang-kadang menggunakan banyak minyak kerana tidak pernah memasaknya sendiri di rumah.
Salam KhairulAming. Saya berharap masakan akan datang adalah makanan sihat. Banyak sangat minyak ni. Goreng is not good. Harap lebih peka dengan masalah rakyat Malaysia. Kita tidak mahu kesihatan makin teruk, negara makin merundum. TK. https://t.co/vIjsh4lmTV
— Dr Rafidah Abdullah (@rafidah72) April 1, 2023
Mengakui dirinya tidak boleh memuaskan hati semua orang di luar sana, KA memohon agar netizen membuat pilihan sendiri kerana ada yang memilih untuk makan ‘sedap’ dan ada juga yang ingin menjaga diet pemakanan.
Dia juga meminta netizen untuk mengutamakan kesihatan dan tidak bertelingkah tentang isu remeh temeh di media sosial.
“Harap tak ada gaduh-gaduh dalam bulan Ramadan. Jaga kesihatan, jangan lupa bersenam dan jaga portion” ujarnya.
Terdahulu, seorang pakar perubatan iaitu Dr Rafidah telah menegur di Twitter mengenai masakannya yang dianggap terlalu berminyak dan tidak sihat.
Dr Rafidah memohon agar KA membuat ‘content’ yang lebih sihat agar kesihatan rakyat Malaysia lebih terjamin.