Walaupun konflik di Timur Tengah masih berlarutan, rakyat Malaysia dijangka akan terus berbelanja seperti biasa, namun dengan pendekatan yang lebih berhati-hati.
Menurut laporan Malay Mail, sektor peruncitan tempatan melihat perubahan dalam corak perbelanjaan pengguna, di mana orang ramai kini lebih cenderung memilih barangan yang lebih murah susulan peningkatan harga.
Sumber : Imej janaan AI Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) memaklumkan bahawa harga barangan berkemungkinan meningkat dalam masa terdekat akibat ketegangan geopolitik, namun menegaskan bahawa tiada keperluan untuk melakukan pembelian panik.
Kesan sebenar daripada situasi ini dijangka hanya akan dirasai dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, apabila stok sedia ada di pasaran mula berkurangan secara berperingkat.
“Kami menjangkakan harga barangan runcit akan menunjukkan trend meningkat, memandangkan pembekal telah pun memberi petunjuk tentang kenaikan harga akan datang yang didorong oleh peningkatan kos logistik, kos pembungkusan dan potensi gangguan bekalan bahan api,”
“Walau bagaimanapun, pengguna boleh berasa yakin bahawa peruncit utama terus mengekalkan tahap stok barang yang stabil. Tiada keperluan untuk pembelian panik pada peringkat ini,”
MRA yang telah beroperasi selama lebih 40 tahun dan dianggotai oleh syarikat peruncitan utama di Malaysia turut memberi jaminan bahawa bekalan barangan masih terkawal buat masa ini.
Risiko Gangguan Rantaian Bekalan
Walaupun kenaikan harga dijangka berlaku apabila kos tambahan dipindahkan kepada pengguna, MRA menegaskan bahawa risiko lebih besar adalah gangguan terhadap rantaian bekalan sekiranya konflik berpanjangan.
Ini kerana banyak bahan mentah bergantung kepada komponen berasaskan minyak, termasuk plastik yang digunakan secara meluas dalam pembungkusan produk.
Polisi WFH Perlu Dilihat Secara Seimbang
Dalam perkembangan sama, MRA mengambil maklum pelaksanaan polisi bekerja dari rumah (WFH) oleh kerajaan bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan sebagai langkah menangani situasi semasa.
Namun, mereka turut menggesa agar kerajaan mempertimbangkan kesan sampingan daripada pelaksanaan tersebut, khususnya terhadap perniagaan runcit yang mungkin terjejas akibat pengurangan kehadiran pelanggan di premis fizikal.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
