Meskipun baru sahaja berumah tangga, namun Miera Liyana ternyata tak mampu melalui fasa kehidupan yang baru itu dengan tenang dek buah mulut netizen yang tak berhenti membuat spekulasi.
Pun begitu, Miera mengakui tidak kisah dengan tanggapan orang terhadap dirinya malahan meminta orang ramai supaya mendoakan masjid yang baru dibina pada 26 Julai lepas.
“Saya tak kisah dikatakan isteri pertama kah, kedua kah atau ketiga kah. Kalau saya isteri pertama kah, kedua kah atau ketiga kah, saya tak rasa saya buat salah.”
Tambahnya lagi, tiada apa-apa yang disembunyikan olehnya memandangkan dia langsung tidak kisah memanggil rakan media ke majlis persandingannya untuk sama-sama meraikan hari bermakna tersebut.
Pelakon wanita itu turut meluahkan rasa hairan kenapa isu poligami sering digembar-gemburkan di Malaysia ini.
“Kalau poligami saja yang isteri kedua jahat, yang ketiga jahat, pertama pun jahat. Macam dalam drama pula.”
Pun begitu, Miera menyatakan bahawa dia tidak mahu mengiyakan mahu pun menafikan kenyataan tersebut kerana tidak mahu memperbesarkannya lagi.
Bayangkan tak sampai 24 jam menjadi suami dan isteri, sudah ramai yang membuat andaian sendiri mengenai perkahwinan mereka. Malah Miera akui bahawa dia berasa tertekan dek telahan tidak berasas orang ramai itu.
“Sebagai orang yang baru kahwin tiba-tiba di sosial media orang bercakap sebegitu tentu saja saya terasa. Sebab selepas kahwin orang nak yang indah-indah, tapi saya kena kecam itu yang saya terkejut.”
Pelakon itu juga menggunakan kesempatan ini untuk menafikan segala tuduhan liar yang terpalit ke atas dirinya dan suami disebabkan oleh perkahwinan mereka ini.
“Apa yang saya nak betulkan adalah kebanyakan orang cakap saya dengan suami kahwin atas dasar hubungan syarikat keluarga, kahwin bukan sebab diminta bapa, Roslan anak tujuh dan 10, semua tu tak betul.”
Apa pun, semoga Miera Liyana dan suami bahagia melalui lembah hidup yang baru ini.