Sejak beberapa minggu lalu, kecoh isu Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman mengenakan pakaian seperti wanita lengkap bertelekung ketika mengerjakan ibadah umrah yang telah mengundang kecaman hebat masyarakat.
Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mendakwa status jantina Sajat sudah disahkan sebagai seorang lelaki selepas bertemu empat mata dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung kontroversi tersebut. Sehingga kini tiada dokumen perubatan rasmi yang membuktikan Sajat seorang wanita seperti sering didakwanya.
Terbaru, menurut Sajat dia bukannya tidak mahu membuat pemeriksaan perubatan berkaitan identiti dirinya di hospital tetapi dia tidak diberikan sebarang surat sokongan rasmi mengenainya. Sajat mengatakan dia bersedia untuk bertemu dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelesaikan isu identitinya melalui saluran rasmi.
Bukan saya tak mahu buat laporan perubatan, sekarang mereka (JAKIM) hanya suruh saya pergi ke hospital tanpa sebarang surat sokongan.
Kalau betul mereka (JAKIM) nak bantu, mereka sepatutnya keluarkan surat rasmi. Saya tak tahu dengan siapa yang saya perlu rujuk. Kalau hendak tolong, tolonglah betul-betul kalau tidak ia akan berpanjangan.
Sajat mendakwa, dia pernah cuba menyelesaikan masalah berhubung identiti dirinya kepada pihak berkuasa, namun, alasan diberi kesnya itu berprofil tinggi.
Saya pernah kena tipu, bukan saya tak cari jalan penyelesaian. Kalau diikutkan, ibu bapa sudah memberi kerjasama sebaik mungkin sejak saya dilahirkan. Namun, sekarang, saya yang perlu menanggung semua ini sendirian.
Terdahulu, sekitar tahun 2018 Sajat pernah bertemu dengan pihak JAKIM berkaitan identiti dirinya. Sajat telah memberi reaksi bahawa dia telah memberitahu JAKIM jantinanya yang sebenar.
Ketika itu Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, JAKIMd imaklumkan bahawa identiti usahawan kosmetik itu sebagai khunsa, iaitu seseorang yang mempunyai dua alat kelamin.