“Kalau Diberi Pilihan, Tolong Selamatkan Anak Kita Walau Terpaksa ‘Lepaskan’ Saya..”

Trending

“Kalau Diberi Pilihan, Tolong Selamatkan Anak Kita Walau Terpaksa ‘Lepaskan’ Saya..”

Apabila menatap gambar-gambar ibu bersalin, teringat kembali detik-detik isteri aku ingin melahirkan zuriat pertama kami ke dunia.

Advertisement

Ketika diberitahu isteri dimasukkan ke hospital pada jam 1 pagi, aku masih dibuai mimpi di rumah sewa berhampiran universiti. Keletihan akibat kuliah penuh sepanjang hari sebelumnya.

Sebelum tidur, aku sempat berbalas SMS dengan isteri, bertanyakan keadaannya pada ketika itu. Katanya dia tidak makan sejak petang lagi. Aku menyuruh dia minum susu sebelum tidur.

Isteri dimasukkan ke wad kerana air ketubannya telah pecah. Katanya bukaan baru 2 cm ketika itu dan meminta aku usah terlalu risau kerana masih belum ada rasa sakit nak bersalin.

Pada keesokan harinya, barulah aku bertolak ke hospital untuk bertemu dengan isteri.

Menatap wajahnya yang tidak bermaya, baru aku teringat yang dia masih belum menyentuh makanan sejak petang semalam.

Aku suruh dia makan sedikit, tetapi ditolak kerana doktor menyuruh isterinya berpuasa bermula jam 6 pagi. Sayu melihat dirinya dalam keadaan yang lemah, aku hulurkan air minuman untuk membasahkan tekaknya. Tabahnya dirimu.

Bila jam menunjukkan jam 10 pagi dengan bukaan 4 cm, dia ditolak masuk ke labour room.

Entah kenapa dengan bukaan seluas itu isteri sudah ditolak ke situ. Aku sendiri keliru. Setahu aku, bukaan yang sesuai untuk melahirkan anak ialah 10 cm.

Aku dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas, isteri aku ditempatkan di bilik D. Katanya, kebiasaannya bilik itu akan dihuni oleh mereka yang mengalami masalah nak bersalin.

Aku mula gelisah dan tak tentu arah. Mungkin itu hanyalah mitos yang direka oleh achi India itu berdasarkan pengalamannya sebagai senior guard di sana. Pujuk aku sendirian.

Berbekalkan Quran buruk yang dibawa bersama barang-barang isteri dan bayi yang bakal dilahirkan, aku selak helaian 440. Ya, aku mencari surah Yaasin.

Pesan nenek, bacalah yaasin, semoga dengan berkat dan rahmat yang ada pada surah itu dapat membantu isteri aku bersalin secara normal.

Aku mulakan dari al-fatihah dan disusuli surah karamah itu.

Satu persatu perkataan dan ayatnya aku alunkan perlahan sambil di dalam hati tak berhenti-henti berdoa agar isteri dan anak kami selamat.

Selesai membaca Yaasin dan menunaikan solat Zohor, aku menunggu lagi. Achi India yang tadi memerhatikan gerak geri tingkat laku kemudian menegur aku.

“Adik, mari ikut saya. Kita masuk ikut pintu belakang. Adik boleh jumpa isteri adik,” pelawanya dengan ramah.

Mungkin dia sedar aku sudah semakin gelisah dan asyik mengintai ke dalam labour room.

Alhamdulillah kalau boleh jumpa, tenang sikit hati aku sebab dari tadi hanya berbalas sms sahaja. Keadaan isteri yang sebenar, aku tak tahu.

Dari jam 10 pagi sehingga jam 4 petang, isteri ditahan.

Bukaannya sekarang adalah 6 cm. Setelah diinduce kali kedua, bukaan rahimnya masih belum membenarkan bayi keluar. Akibat terlalu lama menunggu, doktor akhirnya membuat keputusan untuk membedah isteri aku. Ini kerana bayi di dalam kandungan isteri sudah menjadi semakin lemah.

Aku cuba mengawal diri agar tidak panik, tetapi tewas juga pada diri sendiri.

Air mata yang cuba aku sekat agar tidak mengalir seolah-olah tidak dapat dibendung. Seolah-olah mata aku tidak ada penakung. Setiap kali aku bertutur, menenangkan isteri aku, setiap kali itulah air mata akan bercucuran jatuh ke tangannya.

Mana tidaknya, dengan keadaan diri dia yang sudah tidak bermaya, ditambah pula dengan tangan dan kakinya sejuk bagaikan direndam dengan ais, tubuhnya menggigil. Dengan segala macam wayar berselirat di perut dan tangannya. Hati aku meruntun sayu.

Para doktor meninggalkan kami berdua untuk meluangkan masa bersama.

Mungkin ini adalah untuk kali terakhir aku boleh bercakap bersama isteri di mana doktor telah membuat keputusan yang isteri mesti dibedah untuk menyelamatkan bayi yang hampir lemas.

Beralunkan surah Yaasin yang dipasang di bilik bersalin itu, mata kami bertentangan. Isteriku perasan mata aku kembali berkaca. Dia mula menuturkan kata-kata cinta bagi memulihkan semangat aku.

“Abang, handsomenya abang hari ini. Abang suka tak dengan baju yang sayang belikan untuk abang itu?” soalnya.

Pada ketika itu juga aku tidak dapat menjawabnya tetapi aku rangkul dirinya sambil menangis teresak-esak seperti tiada lagi esok untuk kami terus bersama.

Aku tidak mampu bersuara walaupun mengeluarkan sepatah kata. Tetapi dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa walaupun dia ‘berpuasa’. Dia masih gagah, masih kuat untuk memulihkan semangat aku yang semakin luntur.

“Abang, seandainya doktor memberi pilihan, siapa yang abang ingin selamatkan? Sayang atau anak kita? Abang tolong jawab selamatkan anak saya. Berilah anak kita peluang untuk merasai kebahagiaan hidup di dunia ini biarpun tanpa umminya di sisi,” katanya.

Sekali lagi aku menangis semahu-mahunya. Aku tidak mahu keadaan itu berlaku, aku mahukan isteri aku dan mahukan kedua-duanya berada di sisi aku. Membesarkan anak aku bersama insan pilihan aku.

Tamat waktu bersama, isteri ditolak untuk dibawa ke bilik pembedahan.

Aku menghantar dia dengan lirik mata berair sebelum berlalu ke musolla hospital. Aku berwudhuk, solat dua rakaat. Aku sujud lama-lama memohon keampunan untuk isteri juga untuk diri aku lebih-lebih lagi. Mungkin ini adalah kaffarah dosa aku selama ini. Aku menangis semahu-mahunya.

Sedar jam 4.30 petang, aku menanti dengan penuh sabar di luar bilik pembedahan.

Aku telefon nombor keluar terdekat, sahabat dan rakan-rakan yang aku kenal. Aku mohon dan merayu dari mereka agar doa dikirim buat isteri aku yang sedang bertarung nyawa melahirkan seorang khalifah penambah umat Nabi tercinta.

Mulut tak berhenti membaca Hizbul Bahri. Zikir berharga yang tiada nilainya yang aku terima ijazahnya dari Al-Allamah Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki.

Sejam sudah berlalu, mundar-mundir tidak mengeluh untuk aku duduk walaupun kaki aku lenguh berdiri sejak dari tadi. Tetapi perasaan ingin tahu tentang keadaan isteri melenyapkan semua keletihan itu.

Akhirnya penantian aku berakhir, seorang jururawat menolak troli tertutup (incubator barangkali namanya) dengan seorang bayi mata bulat muka mirip anak cina. Oh! Rupa-rupanya bukan isteri aku seorang saja di dalam, ibu berbangsa Cina pun ada.

“Suami kepada Zulaikha! Suami kepada Zulaikha!” jerit jururawat mencari ‘Yusuf’ Zulaikha. ORang ramai yang turut sama mengintai bayi cina itu berpandangan antara satu sama lain termasuklah aku sendiri.

Tiba-tiba aku teringat, akulah suami Zulaikha. Macam manalah boleh lupa pula pada waktu itu. Cuak sangat agaknya sampai nama isteri pun boleh lupa.

“Ye, saya kak. Saya suami dia,”

“Encik, ini anak encik. Encik boleh pegang dan azankan dia. Tetapi sebelum itu, encik kena kata apa?” soal jururawat.

Nak kata apa pula? Alhamdulillah ke? Terima kasih ke? Mana aku tahu.

Sudahlah rasa macam tak percaya pun ada bahawa anak cina yang aku tengok tadi rupa-rupanya anak aku. Boleh dia dia tanya nak kata apa.

Mungkin jururawat itu perasan aku tengah keliru, dia pun selak kain bedung anak aku bagi menyatakan jantinanya. Rupanya dia nak suruh aku buat pengakuan yang anak aku ini perempuan. Barulah aku faham.

“Perempuan, nurse,” kata aku tersenyum malu.

Aku dakap anak aku, cium dahi dan kedua-dua pipinya lalu aku azan dan iqamatkan di kedua-dua belah telinganya. Allahurabbi. Comelnya anak aku. Mata hitam dia bulat besar, tak nak tutup pula.

Alhamdulillah.

“Nurse, macam mana dengan keadaan isteri saya?” soal aku setelah sedar dari pukauan mata anak aku ini.

“Isteri encik selamat, dia sedang dijahit. Sebentar lagi dia keluar,” jawabnya.

Tidak lama selepas itu, isteri aku ditolak keluar.

Alhamdulillah, syukur kepada Mu ya Allah. Biarpun Kau mentakdirkan dia bersalin secara caesar, namun aku bersyukur sangat-sangat kerana Engkau masih lagi memberikan kesempatan untuk aku berkasih-sayang dengannya.

Hanya padaMu segala puji-pujian layak kami berikan.

Keluarnya isteri dari bilik pembedahan, bukannya dengan tangisan, malah tiada setitis air pun yang aku perasan membasahi matanya. Walaupun kesakitan, seukir senyuman dia hadiahkan kepada aku. Terharu, sungguh aku terharu. Aku kucup dahinya.

“Terima kasih sayang kerana sanggup berkorban nyawa demi melahirkan zuriat abang,”

Wahai suami sekalian, hargailah isteri kita sebaik-baiknya.

Apabila ada tercalit perasaan tidak puas hati dan ingin marah kepadanya, ingatlah akan pengorbanan yang telah dia berikan kepada kita. Zuriat keturunan kita yang lahir dari rahimnya. Diamkanlah diri, tenangkanlah hati. Bila keadaan kembali reda, bersuaralah.

Nasihatilah mereka dengan hikmah hasanah, bukan dengan kekerasan yang bakal mengundang padah. Sesungguhnya wanita itu dijadikan dari tulang yang bengkok.

Andai ditegakkan dengan kekerasan, nescaya akan patahlah ia. Akan tetapi ia dilentur dengan lemah lembut, dia akan menjadi bidadari kita bukan setakat di dunia tetapi di syurga yang kekal selamanya.

Kredit : Layar Minda

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...