Pasangan adik beradik, Heliza dan Hazwani Helmi telah pun disahkan ditahan oleh tentera Israel selepas bot mereka dipintas ketika dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Namun bagi bapa mereka, perkara tersebut sudah dijangka olehnya dan keluarga sebaik sahaja kedua-dua anaknya itu mengambil keputusan untuk menyertai misi GSF.
Kata Helmi Hasbi, sejak awal lagi dia sedar bahawa misi disertai Heliza dan Hazwani memang sangat berisiko jadi ahli keluarga sudah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan.
Saya sudah jangka awal (anak-anak akan ditahan), (namun) harap tidak berlakulah, tapi, bagi saya, kalau tidak (berlaku seperti itu, pasti) Gaza sudah lama aman.
Sempat minta halalkan makan minum
Tambahnya, mereka selalu berhubung kerana Heliza dan Hazwani enggan merisaukan keluarga dan kali terakhir komunikasi adalah malam 1 Oktober lalu menerusi panggilan di aplikasi Whatsapp.
Ujarnya, ketika itu Heliza dan Hazwani memohon doa dan restu keluarga sebelum kapal dinaiki mereka menghampiri zon berbahaya atau zon merah.
Dua beradik itu juga memohon agar keluarga mendoakan perjalanan mereka dipermudah dan turut meminta agar ibu bapa menghalalkan makan minum selama ini.
Selepas melepasi zon kuning, mereka meminta kami untuk bersedia sebarang kemungkinan. Semangat mereka memang kuat, kami sebagai ibu dan ayah hanya mampu tambahkan keyakinan mereka dengan doa dan motivasi.
Kalau bukan anak saya yang pergi, siapa lagi?
Dalam pada itu, Helmi akui menerima apa jua keadaan dengan hati terbuka kerana perjuangan kemanusiaan demi rakyat Gaza memang memerlukan pengorbanan dan keberanian.
Kalau bukan anak-anak saya yang pergi, siapa lagi? Mereka (Heliza dan Hazwani) tidak sanggup melihat orang lain menderita. Lagipun mereka buat kerana Allah, biarlah mereka teruskan.
Pada masa sama, Helmi berkata isterinya Latifah Mohamad yang rapat dengan Heliza dan Hazwani, masih dibelenggu kesedihan mengenangkan nasib kedua-dua anaknya yang kini ditahan, namun tetap reda dan kuat selepas diberi semangat oleh keluarga.
View this post on Instagram
Helmi juga berharap kerajaan mengambil tindakan segera dan lebih agresif bagi memastikan keselamatan semua aktivis Malaysia yang ditahan.