Baru-baru ini, video yang memaparkan seorang kanak-kanak menangis di sisi ibunya kerana tidak tahan dengan kesakitan dirasai telah meraih perhatian dan meruntun hati ramai orang.
Menerusi video yang tular di TikTok, kanak-kanak itu didengari mengeluh kesakitan kepada ibunya dan menangis teresak-esak sambil berkata dia sudah tidak tahan lagi.
Kenapa Allah tunjukkan jalan macam ni, sakit kakak tak kuat, dah tak kuat, badan sakit, kakak dah tak tahan ibu, kakak nak macam dulu.
Ketika ditemu ramah Harian Metro, ibu kanak-kanak bernama Nur Umairah Mohd Fauzi tersebut iaitu Haida Pairan, 36, berkata anaknya menghidap kanser darah dan leukemia.
Kata Haida, dia merakam video tersebut untuk dijadikan kenangan selain mahu memberi sokongan kepada pejuang pesakit kanser di luar sana.
Sebagai ibu, memang luluh hati saya melihat anak merintih dan tak sanggup rasanya tengok dia menangis kerana kesakitan. Tapi saya kena kuat menahan air mata supaya anak saya tak tahu dan nampak kedukaan saya.
@allyshaaida Ibu tau kakak kuat syg…🥹 #cancerfighter ♬ Pedihnya Hatiku – Jeki Jeksen
Mula tunjuk simptom awal November lalu
Berkongsi lanjut, Haida bercerita tentang Nur Umairah yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan dilahiran normal serta aktif dan ceria seperti kanak-kanak lain.
Namun pada pertengahan November lalu, kanak-kanak berusia 11 tahun itu mula menunjukkan simptom seperti kerap demam yang lambat nak baik, nampak muka letih dan pucat serta ada kesan lebam pada badan.
Melihat perubahannya yang ketara itu, saya dan suami bawa anak ke klinik kesihatan kemudian lakukan ujian darah. Tak lama selepas itu, doktor hubungi saya untuk datang ke klinik beritahu keputusan darah tak normal dan minta rujuk ke hospital.
Emosi ‘down’
Selepas pemeriksaan dijalankan terhadap sampel darah dan air tulang sumsum, Nur Umairah disahkan menghidap kanser. Ujar Haida pada awalnya, dia sukar menerima berita tersebut.
Suami awalnya positif tapi dia pun sedih dan sejak November lalu, kakak memang banyak hari tak ke sekolah kerana awal Disember lalu, dia mula menjalani rawatan kemoterapi yang sudah selesai empat sesi.
Tambah Haida, setakat ini Nur Umairah nampak baik-baik sahaja tetapi hanya emosinya ‘down’ kerana sering bertanya mengapa dia diuji dengan kesakitan tersebut selain turut merindui rakan-rakannya.
Menurut Haida lagi, buat masa ini, dia dan suami yang bekerja sebagai pemandu lori bersama mengeluarkan belanja untuk keperluan Nur Umairah termasuk lampin pakai buang.