Semalam media hiburan tempatan digemparkan dengan pemergian pelakon popular, Ridzuan Hashim dipercayai akibat sakit jantung.
Berita hiba itu ternyata telah mengejutkan kerana Allahyarham sebelum ini tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit teruk dan terlihat sihat walafiat.
Pemergian aktor itu turut dimaklumkan bekas isteri, pelakon Didie Alias menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, petang semalam.
Didie yang ditemui Gempak juga memberitahu bahawa dia bersyukur kerana dapat menguruskan perjalanan akhir Allahyarham ke negeri abadi dengan rasa ikhlas dan tiada dendam.
Saya rasa ini tanggungjawab saya, walaupun arwah hanya bekas suami saya tapi dia adalah ayah kepada anak-anak saya. Syukur saya dapat selesaikan perjalanan terakhirnya.
Ini semua aturan Allah, saya secara ikhlas sudah reda dengan pemergiannya, malah sudah lama memaafkannya serta menghalalkan makan minumnya.
Kata Didie lagi, dia masih terkejut dengan peristiwa itu kerana ada berjanji untuk menghantar rendang sebagai juadah hari raya buat bekas suaminya itu dan anak mereka, Dhanial yang tinggal bersama-sama Allahyarham.
View this post on Instagram
Apa apa pun kita semua akan mati, dia seorang yang tak suka nak susahkan orang lain dan Alhamdullilah dia pergi dengan cara yang baik.
Terdahulu, pelakon yang terkenal dengan watak King dalam filem KL Gangster itu dilaporkan tiba-tiba rebah di rumah mereka sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada pagi Khamis.