Sebuah kafe di Karachi, Pakistan, mencuri perhatian dunia selepas memenangi pertikaian tanda dagangan menentang gergasi kopi antarabangsa, Starbucks.
Kafe tersebut, yang dikenali sebagai Sattarbuksh, pada asalnya ditubuhkan pada tahun 2013 sebagai parodi lucu terhadap jenama terkenal itu. Ia menampilkan logo berbentuk bulat berwarna hijau dengan wajah seorang lelaki bermisai, yang disifatkan ramai sebagai usikan nakal terhadap lambang puteri duyung Starbucks.
Diasaskan oleh dua usahawan, Rizwan Ahmad dan Adnan Yousuf, nama “Sattarbuksh” berasal daripada gabungan nama biasa Pakistan, Sattar, dan perkataan buksh yang bermaksud “pemberi” atau “hamba”.
Menurut pengasasnya, konsep itu bukan bertujuan meniru, sebaliknya mengangkat elemen satira dan humor tempatan.
“Kafe ini bukan tiruan, tapi parodi—kami hanya mahu membawa jenama kopi dengan sentuhan budaya tempatan dan gurauan ringan,” ujar Rizwan.
Walaupun penjenamaan itu mencetuskan perdebatan hangat dalam talian dan menyebabkan Starbucks memfailkan saman atas dakwaan pelanggaran cap dagangan, mahkamah akhirnya memihak kepada Sattarbuksh.
Mahkamah memutuskan bahawa reka bentuk dan nama kafe tersebut adalah bentuk parodi sah, bukan penciplakan jenama.
Selain penjenamaan unik, Sattarbuksh turut dikenali dengan menu kreatif yang menggabungkan cita rasa tempatan dan antarabangsa, termasuk burger, piza, dan shisha.
Antara menu popular mereka ialah ‘Besharam Burger’ (burger tanpa ban) dan ‘LOC Pizza’, yang dibahagi kepada dua bahagian — vegetarian dan bukan vegetarian — sebagai sindiran lucu terhadap sempadan India-Pakistan.
Kemenangan ini dianggap kejayaan besar buat keusahawanan tempatan Pakistan, di mana ramai pengguna internet menyifatkannya sebagai kisah ‘underdog’ yang menewaskan gergasi global dengan keberanian, kreativiti, dan humor.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.