Empat lelaki ditahan selepas bertindak menghalang pihak polis menjalankan tugas ketika cuba menahan seorang suspek bagi membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan pelajar madrasah yang dilaporkan sebelum ini.
Keempat-empat lelaki berusia sekitar 30 hingga 50-an itu dipercayai ahli keluarga mangsa, iaitu pelajar madrasah yang didakwa dipukul menggunakan topi keledar, sebagaimana yang tular dalam satu rakaman video di media sosial. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada malam Ahad lalu, memetik Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu di Telipok pada jam 6.45 petang Isnin.
Kejadian ini berlaku ketika sepasukan pegawai polis sedang menjalankan tugas untuk menangkap dan membawa seorang suspek bagi membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak yang telah dilaporkan sebelum ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati beberapa individu terbabit telah bertindak agresif dengan menghalang kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan berkenaan sehingga mengganggu tugas polis.

Siasatan awal mendapati beberapa individu telah bertindak menghalang kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan berkenaan sehingga menjejaskan tugas polis.
Tambah Kasim, pihak polis turut merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa kejadian tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan pihak polis akan memohon reman ke atas kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, menjalankan ujian saringan air kencing, serta merakam percakapan saksi kejadian.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam agar tidak bertindak mengikut emosi, sebaliknya bertenang dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Sebarang ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui saluran undang-undang yang betul,” tegasnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

