Drama Korea terbaru lakonan Kim Woo-bin dan Suzy berjudul Genie, Make A Wish menerima kecaman hebat susulan dakwaan bersifat tidak sensitif terhadap agama.
Drama terbitan Netflix itu mengisahkan roh bernama Genie (lakonan Kim Woo-bin) yang terbangun lalu perlu menunaikan tiga hajat besar seorang gadis bernama Ka-young (Suzy). Namun, selepas treler rasmi ditayangkan baru-baru ini, timbul kontroversi terutama dalam kalangan penonton antarabangsa di TikTok.
Isu tercetus apabila watak Genie digambarkan sebagai Iblis, yang dalam Islam merujuk kepada syaitan atau ketua segala makhluk jahat. Netizen mendakwa penceritaan tersebut seolah-olah meromantiskan sosok Iblis dengan menjadikannya sebagai karakter utama yang memiliki kuasa ajaib. Perkara ini dianggap sangat tidak wajar kerana menyentuh sensitiviti agama secara langsung.
Bukan itu sahaja, drama ini turut dibandingkan dengan beberapa K-Drama lain yang pernah berdepan tuduhan sama sebelum ini, menimbulkan persoalan tentang kurangnya kepekaan produksi terhadap unsur budaya dan agama.