Baru-baru ini seorang pengguna Perodua Axia telah menulis di akaun Facebook miliknya mengenai masalah pada keretanya yang telah menyebabkan kemalangan. Pengguna itu, Hussein Mat Omar, pada 2 Ogos mendakwa stereng keretanya terkunci tiba-tiba sewaktu sedang memandu dan menyebabkan berlaku kemalangan.
KEPADA SEMUA PEMILIK KERETA AXIA. PERINGATAN BUAT ANDA SEMUA.
Salam buat semua.
Pada 6 Jun 2016 yang lalu (puasa pertama Ramadan), saya memandu kereta Axia saya dari Jawi menuju ke Gelugor. Ketika itu hujan dan saya memandu dalam kelajuan 70-80 km/j. Saya hendak gunakan jambatan kedua.
Tiba di susur keluar PLUS ke jambatan kedua (di lencongan), tiba-tiba stereng Axia saya terkunci dan tak boleh dipusingkan. Apa lagi, saya terus tekan brek tetapi malangnya brek juga tidak berfungsi langsung. Kereta saya terus menghentam railing sisi kanan dan terus ia terseret ke sebelah railing sisi kiri. Kereta saya terus terhenti. Airbag juga tidak berfungsi.
Saya terus matikan enjin kereta dan periksa anak dan isteri dulu. Tengkuk isteri saya sakit dan tidak boleh dipusingkan manakala anak saya yang duduk di belakang mengalami sakit pinggang dan Alhamdulillah saya okay. Saya uruskan ambulan dahulu sebelum hubungi wakil Perodua bagi menunda kenderaan saya.
Keesokan harinya saya membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Jawi. Selang tiga hari saya menulis kepada pihak ibu pejabat Perodua untuk memaklumkan kejadian yang menimpa saya dan meminta mereka siasat punca kejadian dan memperbetulkannya segera agar ianya tidak menimpa pemandu Axia yang lain.
Saya juga minta agar mereka memperbaiki secara percuma atau gantikan sebuah kereta lain. Saya juga membuat salinan surat tersebut kepada Menteri Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perodua Seberang Jaya dan juga Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Saya cuma terima maklumbalas dari CAP sahaja dan juga dari ibu pejabat Perodua yang mengatakan mereka masih menyiasat.
Hasil Laporan Siasatan Rasmi Tidak Memuaskan Hati
Hari ini saya menerima laporan rasmi hasil siasatan tersebut. Malang sekali hasil siasatan mereka bukanlah mencari punca yang menyebabkan berlakunya kuncian pada stereng, atau brek dan beg udara yang tidak berfungsi, tetapi siasatan mereka lebih menjurus kepada mencari alasan yang boleh menjadi sebab bagi menyalahkan pelanggan. Hasil siasatan mereka menyatakan puncanya adalah kerana tayar botak.
Tayar botak? Kepada pakar penyiasat yang bijak saya nak tanya, kalau tayar botak sekalipun bukankah brek akan berfungsi seperti biasa cumanya kereta akan terseret sedikit dan akan ada kesan tayar di tempat kejadian? Adakah anda menyiasat di tempat kejadian? Memanglah hasil siasatan anda semua okay. Lepas kemalangan tu saya matikan enjin dan hidupkan balik semua okay, tetapi punca yang menyebabkan stereng terkunci, brek dan beg udara tak berfungsi anda tak siasat. Siasatan hanya untuk cari sebab salahkan pengguna dan lindungi syarikat Perodua.
Bagaimanakah sekiranya kejadian sebegini melibatkan kehilangan nyawa? Mahu pula terkena ke atas anda atau ahli keluarga anda.
Jadi kepada semua pemilik Axia berhati-hatilah kerana Perodua tiada sifat ehsan atau perikemanusiaan. Sekiranya anda kemalangan berpunca dari stereng terkunci secara tiba-tiba, dan tayar anda elok dan masih baru, maka satu alasan baru akan dicari untuk salahkan anda.
Setahu saya sudah ada dua-tiga kes yang sama berlaku. Sekarang dalam proses insurans dan dengar khabar kemungkinan total loss.
Saya sedang menimbang untuk mengambil tindakan guaman. Mohon sahabat-sahabat dapat viralkan agar menjadi pengajaran buat Perodua.
Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas tulisan ini.
Bagaimanapun, seorang jurutera Perodua bernama Mohd Shukri Ismail telah memberi penerangan mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
Stereng Seakan Terkunci Kerana Kereta Tiada Anti-lock Braking System (ABS)
Saya terpanggil untuk menjelaskan tentang isu stereng Axia terkunci sehingga menyebabkan kemalangan.
Saya ialah seorang pekerja Perodua dan saya selalu berurusan dengan perkara-perkara berkaitan teknikal. Dengan latar belakang kejuruteraan sedikit sebanyak saya faham konsep sistem keselamatan sesebuah kenderaan.
Untuk kes yang viral baru-baru ini, boleh saya simpulkan kereta yang terlibat tidak memiliki ciri ABS atau anti-lock braking system (system brek anti-kunci).
Apabila kereta yang tidak memiliki ABS membrek secara mengejut, secara automatik tayar hadapan akan terkunci lalu menyebabkan kereta mengelongsor ke hadapan tanpa boleh dikawal.
Ini menyebabkan stereng seolah-olah terkunci disebabkan kedudukan tayar hadapan yang telah terkunci pergerakannya.
Jika berada di selekoh boleh menyebabkan kereta terbabas ke pembahagi jalan. Tiada apa yang boleh dibuat oleh pemandu untuk mengawal kenderaan semula.
Shukri menyertakan video di bawah sebagai contoh apa yang bakal berlaku jika kereta anda tidak memiliki ABS.
Shukri menambah yang beg udara tidak akan berfungsi jika tidak mengenakan tali pinggang keledar. Di samping itu, jika sudut pelanggaran ialah lebih 40 darjah dari bahagian depan beg udara tidak akan berfungsi. Kelajuan antara 40 – 60 km/j ketika hentaman atau pelanggaran juga akan menyebabkan beg udara berfungsi.
Shukri juga memberitahu kenderaan yang dibeli oleh Hussein ialah Axia jenis asas yang tidak memiliki ciri ABS.
Setakat ini katanya, hasil siasatan tidak menjurus kepada masalah teknikal. Kalau ada, Perodua akan memanggil semula semua keluaran kenderaan yang terlibat.
Contohnya, Myvi pernah mempunyai masalah EPS stereng sebelum ini. Walaupun hanya tiga unit dikesan bermasalah, Perodua terus memanggil semula semua batch Myvi yang terlibat berjumlah 40,000 unit.
Sumber: Hussein Mat Omar, Mohd Shukri Ismail – disunting untuk diterbitkan di amazingnara.com