Seorang jurulatih bola sepak persendirian telah ditahan pihak polis selepas disyaki melakukan perbuatan mencabul terhadap dua remaja perempuan berusia 13 tahun dalam dua kejadian berasingan di Bayu Damai, Kota Tinggi, Johor, memetik Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan pada 11 Jun sekitar jam 7.30 malam susulan dua laporan polis berkaitan kejadian yang berlaku pada 10 dan 11 Jun.
Suspek disyaki mencabul dua mangsa terbabit di empat lokasi berbeza sekitar kawasan Bayu Damai.
Hasil ujian air kencing menunjukkan suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah, namun siasatan lanjut mendapati individu terbabit mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek kini direman selama enam hari bermula 12 Jun hingga 17 Jun setelah perintah reman diperoleh daripada Mahkamah Majistret Kota Tinggi.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil menyalurkannya di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-883 7222.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.