Melalui laporan Berita Harian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang berhadapan dengan tunggakan sewa mencecah RM70 juta membabitkan penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta Perumahan Awam (PA) di ibu kota.
Sewa yang tertunggak cecah RM70 juta
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, isu berkenaan merupakan salah satu isu yang dibangkitkan semasa dialog bersama DBKL dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama penduduk PA dan PPR Desa Rejang, Setapak.
Setakat ini jumlah tunggakan sudah mencecah RM70 juta. DBKL mengambil beberapa langkah termasuk memasang kunci air, mengeluarkan notis, mengadakan program advokasi kewangan serta pelan rundingan kepada penyewa bagi memastikan bayaran dapat dijelaskan.
Difahamkan daripada penjelasan Dr Maimunah, langkah tersebut penting untuk diambil supaya hasil kutipan sewa dapat dikembalikan kepada penduduk dalam bentuk perkhidmatan yang baik.
‘Perlu bayar sewa supaya dapat beri perkhidmatan yang baik’
Katanya lagi, hasil kutipan sewa ini penting kerana ia akan digunakan semula untuk penyelenggaraan bangunan, pembaikan kemudahan awam serta perkhidmatan yang boleh dinikmati oleh penduduk PA dan PPR.
Kita laksanakan tindakan secara berperingkat, bukan terus keras. Kita mulakan dengan notis, beri advokasi, dan baru kita pasang kunci air.
Dalam pada masa yang sama, beliau menyatakan kini DBKL sedang dalam pertimbangan untuk menawarkan penjualan unit PA dan PPR kepada penyewa yang layak dari segi kewangan.