Sah bergelar isteri kepada Y.A.M Tengku Shariffuddin Shah bin Y.A.M Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj, pelakon Juliana Evans memberitahu mereka bakal mengadakan majlis resepsi perkahwinan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pada masa yang sama, Juliana sempat meluahkan rasa syukur kerana majlis perkahwinannya itu berjalan dengan lancar.
Alhamdulillah, saya kini sah bergelar isteri Tengku Shariffuddin Shah. Saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam kehidupan rumah tangga. Dan saya berharap agar peminat terus mendoakan kebahagiaan kami.
Tanggal 30 April lepas, Juliana dan suaminya yang merupakan kerabat diraja Johor dan Selangor sah diijabkabulkan pada jam 10.45 pagi di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Pasangan terbabit dinikahkan oleh Imam Masjid Istana Alam Shah Klang, Imam Paduka Tuan Mohd Rasid Mahful.