November 30th, 2015

Mungkin ramai yang tidak tahu kewujudan program Juara Parodi yang menggabungkan penyanyi dan pelawak. Juara Parodi ditayangkan setiap hari Jumaat pada jam 10 malam di mana para peserta akan menyanyi lagu popular tetapi lirik lagu tersebut ditukar. Salah satu gandingan yang sentiasa mencuri perhatian ramai ialah Misha Omar dan kumpulan Jambu yang dianggotai oleh Tauke dan Yus.
misha juara parodiMinggu lalu adalah minggu terakhir buat Allahyarham Yus Jambu beraksi di atas pentas Juara Parodi. Pemergian beliau buat selama-lamanya masih mengejutkan orang ramai. Allahyarham telah pun selamat dikebumikan di Perlis, negeri kelahirannya. Abang Nara sangat terharu membaca kata-kata rakan sepasukan Allahyarham iaitu Misha Omar tentang kemesraan beliau pada hari Jumaat lalu. Kata Misha:-

Saya tidak menyangka rupa-rupanya keakraban kami pada sesi latihan tempoh hari akan menjadi kenangan terakhir saya dengan arwah. Sebelum ini, ketika sesi latihan, kami lebih banyak buat hal sendiri. Tetapi entah kenapa, Jumaat lalu, saya banyak meluangkan masa dengannya.

Banyak yang kami bualkan terutama sekali mengenai hal kehidupan. Dalam perbualan itu, Yus sempat menasihatkan saya supaya menjaga kesihatan dan tidak menjadi sepertinya. Arwah bukan saja mengambil berat kepada saya, malah krew dan juga teman rapatnya yang lain.

Jadi setiap kali hendak menguji darahnya, arwah akan suruh rakan-rakan yang lain menguji darah mereka. Walhal kertas ujian gula itu bukannya murah, tetapi arwah tidak lokek demi menjaga kesihatan rakan-rakannya

misha juara parodi

Secara jujur, Abang Nara telah mengalirkan air mata apabila melihat beberapa video tribute Allahyarham Yus Jambu. Sesungguhnya arwah adalah seorang yang sangat jujur dalam bekerjaya, sangat mengambil berat orang lain dan amat mudah didekati. Pemergian arwah adalah satu kehilangan yang amat besar. Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

misha juara parodi

Jumaat ini, Misha Omar dan Tauke Jambu akan memberikan persembahan berbentuk sketsa menggunakan sebuah bingkai gambar dengan tajuk ‘Aku Suka Benda Ini Kerana Ia Mengingatkan Aku Kenangan Pada Kau’. Abang Nara pasti tak akan terlepas menonton Juara Parodi minggu ini. Semoga persembahan Misha dan Tauke akan berjaya. Yang pasti, tanpa Yus Jambu, sedikit sebanyak Juara Parodi hilang serinya.

misha juara parodi

Sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah dan doakan agar Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman. Amin. Sumber Berita Harian.


Comments are closed.

Loading...