Personaliti media sosial Wak Doyok sebelum ini memang terkenal dengan gaya misai dan juga dianggap sebagai ikon fesyen oleh peminat khabarnya telah meluaskan lagi empayar perniagaan dalam bidang makanan pula.
Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Mohd Nor dilaporkan telah membuka restoran makanan jepun yang diberi nama Sushiwak yang berlokasi di Melawati Mall, Kuala Lumpur.
Yang lebih menarik apabila restoran milik Wak Doyok itu menghidangkan resipi sushi dengan suntikan elemen kemelayuan yang pastinya lebih dekat dengan selera tempatan.
Dan disebabkan oleh perkara itu, restoran yang secara rasmi dibuka pada 26 Disember tahun lalu itu mula menjadi tumpuan sehingga para pekerja tidak cukup tangan untuk melayan pelanggan.
Namun begitu, Wak Doyok berkata kelainan yang ditampilkan itu tidaklah sehingga ke arah resipi yang pelik-pelik dan merosakkan keunikan sushi itu sendiri namun sekadar untuk menampilkan kelainan dalam menu sedia ada.
View this post on Instagram
Ujarnya lagi, tukang masak restoran Sushiwak adalah warga tempatan dan bukan ‘kaleng-kaleng’ kerana memiliki pengalaman 10 tahun ke atas dalam bidang pembuatan sushi.
Cef saya warga tempatan dan punya banyak pengalaman dalam pembuatan sushi. Hampir semua resipi cef saya buat, tambah dan wujudkan resipi baharu seperti Curry Chicken Katsu Bento dengan rasa kari istimewa.
Sushi yang ditawarkan mengikut harga warna pinggan seperti pinggan berwarna hitam hanya RM1, merah pula RM3, dan kuning RM5.
Bagi mereka yang menginginkan kelainan dalam menu sushi, antara hidangan yang ditawarkan adalah seperti Curry Chicken Katsu Don, Curry Karaage Chicken Don, Soft Shell Crab Bento, Chicken Shigayaki Bento dan banyak lagi.
Yang paling penting, restoran Sushiwak milik Wak Doyok ini dijamin halal!