Kebanyakan pelanggan sememangnya menitikberatkan aspek kebersihan, kualiti makanan serta harga yang ditawarkan. Namun, apabila harga sesuatu hidangan dianggap terlalu tidak munasabah, ia sering mengundang reaksi negatif dalam kalangan pengguna.
Situasi itu tercetus baru-baru ini apabila tular di media sosial luahan seorang individu mengenai seorang peniaga wanita yang menjual tiga biji popia pada harga RM18.90 termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, individu terbabit mempersoalkan kos yang dikenakan sehingga popia berkenaan yang dinamakan Lumpia dijual pada harga sedemikian.
“Kak apa ni RM18.90 untuk tiga biji popia? Kak kau kira kos bernafas sekali ke masuk dalam harga makanan kau,” tulisnya.
Difahamkan, popia yang dijenamakan sebagai Lumpia itu hadir dengan perisa tomyam berkeju dan berkrim, serta ditawarkan dalam dua pilihan iaitu daging dan ayam.
Peniaga terbabit memaklumkan bahawa menu berkenaan adalah edisi terhad dan hanya dijual ketika jelajah di beberapa kawasan tertentu termasuk Gombak.
“Lumpia ini limited tau kome, ada di tour je tau, jadi jangan lepaskan peluang dapatkan lumpia ayam dan daging,” tulis peniaga berkenaan.
Peniaga Tampil Beri Penjelasan
Susulan kecaman netizen terhadap harga yang dikenakan, peniaga berkenaan, Dania Sedek, tampil memberikan penjelasan mengenai harga jualan makanan yang ditawarkan di kedainya, Niase.
Menurut Dania, setiap hidangan yang dijual adalah setimpal dengan kualiti yang diberikan kepada pelanggan.

“Dari pemilihan bahan mentah, proses penyediaan sehinggalah ke hidangan yang sampai ke tangan pelanggan, kami sentiasa menitikberatkan kualiti dan rasa.
“Kami juga akan memastikan setiap menu dimasak dengan penuh teliti, mengekalkan kesegaran serta standard yang terbaik agar setiap pelanggan mendapat pengalaman menikmati makanan yang memuaskan dan berkualiti setiap kali berkunjung,” tulisnya di kapsyen.
Netizen Masih Tidak Bersetuju
Namun, meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial dilihat masih tidak bersetuju dengan harga RM18.90 untuk tiga biji popia sahaja.
Ada juga yang mempersoalkan penggunaan nama Lumpia berbanding popia, selain berpendapat dengan harga sedemikian, pelanggan boleh mendapatkan lebih banyak pilihan makanan lain dengan kuantiti yang lebih banyak.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
