Umum tahu pengambilan dadah sangat berbahaya untuk kesihatan dan boleh membawa kepada ketagihan yang teruk. Penagih akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.
Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun melakukan pekerjaan mencari lokan di kawasan sungai berdekatan semata-mata untuk membeli dadah.
Lelaki itu juga tidak serik walaupun telah ditamatkan perkhidmatan dalam tentera selepas 12 tahun bertugas kerana terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Menurut Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut, Noor Hafizza Mat Zin, lelaki itu ditahan dalam Operasi Cegah di rumah ibunya di Kampung Benting Lintang pada jam 4.40 pagi.
“Dalam operasi berkenaan bekas tentera itu antara 13 orang yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 39 tahun”.
Hasil saringan air kencing menunjukkan dia positif Methamphetamine dan siasatan mendapati lelaki duda anak dua itu tidak pernah ditahan.
“Dia mula terlibat dengan dadah atas faktor ingin mencuba dan terpengaruh dengan rakan”.
“Buat masa sekarang dia bergantung kepada pendapatan mencari lokan kira-kira RM400 sebulan”.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.