Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memperkenalkan MyKad dan pasport generasi baharu yang dilengkapi ciri keselamatan dipertingkatkan selari dengan keperluan semasa dan perkembangan teknologi.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan integriti dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia terus terpelihara.

“Kami ada beberapa pencapaian penting. Ini signifikan kerana pasport Malaysia kini berada di kedudukan ketiga paling dipercayai, diukur berdasarkan pemegang pasport Malaysia tidak memerlukan kelulusan visa untuk perjalanan ke banyak negara,” katanya.
“Itu kayu ukur yang penting. Semalam saya ditaklimatkan oleh Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Zakaria Shaaban) bersama Ketua Setiausaha KDN (Datuk Awang Alik Jeman) mengenai status kebolehpercayaan pasport kita.”
“Jadi, kita akan memiliki pasport berwajah baharu bagi rakyat Malaysia dalam tempoh enam bulan dari sekarang,” katanya pada sidang media Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2026 di Dewan Seri Endon baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, memetik laporan Malaysia Gazette, kerajaan turut merancang untuk memperkenalkan pasport baharu dengan ciri keselamatan dipertingkatkan bermula suku kedua tahun ini.
Pengenalan pasport baharu itu dibuat selepas tempoh penggunaan pasport sedia ada mencapai had, sekali gus memerlukan penggantian dokumen keselamatan bagi mengekalkan standard keselamatan antarabangsa.
Menurut Saifuddin, langkah tersebut amat penting bagi mengekalkan kebolehpercayaan pasport Malaysia yang kini berada dalam kelompok terbaik dunia dari segi kemudahan perjalanan tanpa visa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
