Pada bulan Mei ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka akan melancarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan terkini bagi kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam melebihi 7.5 tan.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu diambil ekoran peningkatan kes kemalangan membabitkan kenderaan berat terutama lori sejak kebelakangan ini.
Dia berkata, JPJ kini sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan bagi meneliti dan memperhalusi SOP serta garis panduan berkenaan.
Menurutnya, antara perkara yang diperincikan termasuk SOP serta tindakan yang akan diambil terhadap pemandu yang memandu melebihi had laju ditetapkan sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Kita nampak memang kes untuk kenderaan perdagangan ini makin meningkat dan salah satu faktornya adalah (pemandu) kenderaan-kenderaan ini membawa kenderaan mereka melebihi had laju yang ditetapkan.
Jadi salah satu langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan adalah mengurangkan had laju kenderaan-kenderaan ini. Jadi ini yang kita sedang perincikan dan kita akan umumkan perincian dalam masa terdekat, mungkin dalam Mei nanti.
Dia turut menjelaskan bahawa antara kandungan SOP baru tersebut termasuk larangan kenderaan perdagangan menggunakan lorong kanan di lebuh raya dan jalan utama, serta tindakan tegas terhadap pemanduan melebihi had laju.
Penambahbaikan ini juga akan memperjelas peranan dan langkah penguatkuasaan yang bakal diambil oleh agensi-agensi seperti JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam perkembangan berkaitan, dia memaklumkan sebanyak 8,862 kes kemalangan telah direkodkan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 (HRA 2025) yang dijalankan dari 24 Mac hingga 8 April lalu.
Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 9,859 kes yang direkodkan dalam operasi sama pada tahun sebelumnya, HRA 2024.
Dia turut memberitahu jumlah kematian juga berkurang daripada 119 orang pada HRA 2024 kepada 85 orang pada tahun ini.
Penurunan ini antaranya hasil daripada program advokasi keselamatan jalan raya yang dilaksanakan oleh JPJ dan agensi penguat kuasa lain.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.