Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kini dikenali sebagai Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan telah diambil alih oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 1 September lalu. Sebelum ini AES dikendalikan oleh A.T.E.S Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.
Sebanyak 45 kamera AWAS ditempatkan di sekitar jalan raya dan lebuhraya di semenanjung Malaysia. Sistem ini akan merekodkan kesalahan lalu lintas seperti pemanduan melebihi had laju dan kesalahan melanggar lampu isyarat.
Antara lokasi kamera untuk had laju:
Melebihi 110 KM/J
- KM 256.1 dari Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
- KM18 Lebuhraya Guthrie arah utara.
- KM 28.4 Lebuhraya ELITE arah utara.
- KM 96.3 Lebuhraya PLUS arah selatan.
Melebihi 90 KM/J
- KM 301.6 Lebuhraya PLUS utara
- KM 17 Jalan Gua Musang – Kuala Krai
Melebihi 80KM/J dan 70 KM/J
- KM 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
- KM 1.6 Lebuh Sentosa Putrajaya
Sementara itu, lokasi kamera lampu merah termasuk Jalan Ipoh di Kuala Lumpur, KM11 Jalan Setiawan-Ipoh dan KM36 Jalan Alor Setar-Butterworth. Kementerian Pengangkutan juga sedang dalam proses memohon kelulusan untuk memasang 2 lagi kamera AWAS di kawasan berbeza.
Semua sedia maklum, pihak kerajaan telah memberi pengecualian bayaran saman AES sehingga 31 ogos yang lalu dan amat mengecewakan apabila sebanyak 15,000 kesalahan telah dirakam oleh kamera tersebut sepanjang tempoh 2 minggu itu berbanding hanya 5,000 kesalahan sahaja sebelum ini.
Lagi mengecewakan apabila, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 1,268 saman dalam masa 48 jam sejak penguatkuasaan yang baharu dilaksanakan pada 1 September lalu.
Oleh itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata yang pihak Kementerian tidak lagi akan berlembut dan akan lebih tegas kepada Orang Yang Kena Saman (OKS) dengan kesalahan bawah sistem AWAS ini.
Tiada pengecualian atau pengurangan bayaran kompaun akan diberikan untuk semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah AWAS. OKS akan diberi tempoh kompaun selama 60 hari dengan kadar kompaun RM300 dan pada masa yang sama mata demerit akan dikenakan apabila kompaun ini dibayar.
“Sekiranya OKS tidak menyelesaikan kompaun yang ditetapkan, kes ke atas OKS akan didakwa di mahkamah dan sekiranya OKS masih gagal hadir ke mahkamah seperti yang dikehendaki, mereka akan disenarai hitam dan dihalang daripada melakukan apa jua transaksi serta urusniaga di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehinggalah kes ini diselesaikan.”
Namun begitu, pengecualian diberikan kepada tiga jenis kenderaan iaitu kenderaan rasmi diraja, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

SumberL The skop
Lokasi pemasangan dan operasi kamera-kamera AWAS ini akan di pasang 3 papan tanda pemberitahuan “ZON OPERASI KAMERA” iaitu antara jarak 1km, 2km hingga 3km sebelum kamera. Manakala bagi lokasi merakam kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah akan dipasang 3 papan tanda pemberitahuan juga dalam jarak 50 meter hingga 1 km sebelum sampai ke lokasi kamera.
Untuk senarai lengkap 45 kamera AWAS, anda boleh rujuk laman web rasmi JPJ.
Sumber: Awani dan NST Online